Wasap Vape Didapati Mengandungi Kepekatan Logam Toksik Yang Sama Seperti Rokok

Wasap Vape Didapati Mengandungi Kepekatan Logam Toksik Yang Sama Seperti Rokok

Diterbitkan pada Mac 13, 2018 oleh .

Dua tahun yang lalu penggunaan vape mula popular di negara kita. Antara alasan popular digunakan oleh penghisap vape ialah rokok elektronik mereka ini lebih selamat jika dibandingkan dengan menghisap rokok. Penjualan vape kini tidak setinggi dahulu selepas fatwa pengharaman telah dikeluarkan dan begitu juga halangan jualan di beberapa negeri.

Ramai pengguna vape mengatakan halangan yang dikeluarkan tidak munasabah kerana rokok terjual dengan meluas walaupun jauh lebih berbahaya. Kajian terbaru dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health mendapati pendapat ini adalah menyimpang dari fakta sains.

Sebanyak 56 jenis mesin vape telah diuji di dalam kajian ini. Analisa cecair vape yang digunakan tidak menemui peratusan logam toksik yang tinggi. Tetapi apabila ujian dilakukan ke atas wasap yang dihasilkan pula, mereka menemui kepekatan yang tinggi logam toksik kromium, nikel dan kadmium. Malahan kepekatan yang disukat adalah lebih tinggi berbanding yang ditemui pada rokok. Kepekatan plumbum pula sama seperti rokok.

Sumber logam ini adalah pada elemen pemanas di dalam vape. Ia lebih tinggi pada vape yang baru berbanding yang sudah agak lama digunakan. Pengguna vape yang kerap menukar elemen pemanas terdedah kepada kepekatan logam toksik yang lebih tinggi.

Banyak kajian sedang dilakukan ke atas vape bagi melihat kesan jangka panjangya terhadap tubuh manusia. Pada awal kurun ke-20, rokok pernah diiklankan sebagai baik untuk kesihatan dengan rokok disarankan oleh sesetengah doktor untuk penyakit seperti lelah. Tetapi selepas kajian dilakukan dengan lebih teliti, jelas sekali rokok menyebabkan kanser. Adakah penemuan terbaru mengenai vape ini akan membuatkan anda berhentikan dari menggunakannya?


TIPS & ULASAN