HTC telah membuka pra-tempahan untuk peranti realiti maya HTC Vive Pro mereka semalam. Ini adalah model kemaskini kepada Vive asal tetapi dengan skrin beresolusi lebih tinggi serta fon telingan terbina. Bagi yang tidak mempunyai komputer berkuasa tinggi, peranti realiti maya kendiri Vive Focus dilancarkan untuk pasaran China November lalu. Di acara GDC yang sedang berlangsung hari ini, HTC mengesahkan Focus akan memasuki pasaran global tahun ini.
Tiada tarikh muktamad diberikan oleh pihak HTC setakat ini. Vive Focus ialah peranti realiti maya kendiri mempunyai kemampuan mengesan kedudukan 6DOF (Degree of Freedom) yang pertama dijual kepada umum. Ini memberikan kebebasan kepada pemakai untuk bergerak tanpa halangan sensor dan wayar. Ia turut menyokong alat kawalan permainan 3DOF serta skrin AMOLED beresolusi tinggi. Tiada maklumat mengenai tarikh jualan sebenar dan harga buat masa ini.