Cari @ Amanz

Touch ‘n Go sebelum ini telah berkongsi perancangan untuk hadir dengan dompet digital untuk penawaran transaksi nirtunai, malah telah menerima pengesahan daripada Bank Negara Malaysia untuk tujuan berkenaan. Kini, selang beberapa bulan, TNG Digital (anak syarikat gabungan Touch ‘n Go dan Alipay) telah pun menerbitkan aplikasi Touch ‘n Go untuk pengguna Android dan juga iPhone.

Touch N Go

Melalui aplikasi ini, pengguna akan diperlukan untuk menghubungkan kad kredit atau debit untuk tujuan tambah-nilai – atau turut boleh menambah-nilai dengan membeli pin tambah-nilai Touch ‘n Go melalui beberapa kedai. Anda akan dikenakan caj untuk penggunaan kad kredit, sementara ianya adalah percuma untuk penggunaan kad debit.

Selepas menambah-nilai, anda boleh menggunakan wang di dalamnya untuk pemindahan antara pengguna TNG yang lain, membuat pembayaran bil, membuat tambah-nilai prabayar, membeli tiket wayang, membeli tiket penerbangan dan sebagainya. Pengguna turut boleh menggunakannya dalam menggunakan aplikasi ini untuk memindahkan dana ke kad fizikal Touch ‘n Go – tetapi dengan menggunakan panel khusus untuknya.

TNG Android

TNG Android

Dompet digital TNG ini juga hadir dengan sokongan kod QR untuk tujuan pembelian di kedai fizikal, sekaligus memudahkan anda membuat transaksi nirtunai melaluinya.

Disamping itu, aplikasi ini juga kelak akan digunakan untuk pengurusan tag RFID – iaitu inisiatif baru dalam membolehkan penggunaan lebuh-raya tanpa plaza tol untuk menerima bayaran. Dengan integrasi ini, ia sekaligus akan meningkatkan lebih ramai pengguna menggunakan aplikasi ini pada masa akan datang.

Pihak TNG masih belum mengumumkannya secara rasminya. Tetapi memandangkan aplikasi Touch ‘n Go ini telah diterbitkan di Google Play Store dan Apple AppStore, sesiapa sahaja kini boleh memuat-turun dan mencubanya sendiri hari ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd