Android P Mungkin Membenarkan Pixel 2 Menetapkan Gambar Latar Pada Mod Ambient Display

Android P Mungkin Membenarkan Pixel 2 Menetapkan Gambar Latar Pada Mod Ambient Display

Diterbitkan pada Apr 12, 2018 oleh .

Seperti peranti Samsung, Motorola dan LG, Google Pixel mempunyai fungsi Ambient Display (atau Always on Display) yang memaparkan maklumat notifikasi sepanjang masa walaupun ketika skrin dimatikan. Fungsi ini sebenarnya diperkenalkan oleh Nokia sebagai Sleeping Screen ketika zaman Symbian lagi.

Sebelum ini kami laporkan AOD untuk Samsung Galaxy S8 dan Note 8 kini menyokong latar belakang GIF. Pixel juga tidak ingin ketinggalan, kerana Android P untuk Pixel 2 mungkin akan menawarkan ciri AOD yang boleh diubahsuai.

Fungsi ini ditemui terlebih dahulu oleh ahli XDA. Terdapat beberapa barisan kod dalam Android P versi percubaan pembangun pertama yang dikelaskan dalam “DozeWallpaperState”.

Jika anda lihat pada imej bahagian atas terdapat barisan kod “wallpaperFadeOutDuration” dan “wallpaperVisibilityDuration”. Kod-kod ini adalah antara tanda jurutera perisian Google sedang menguji gambar latar belakang AOD secara perlahan dan lancar bertukar kepada skrin kunci peranti.

Selain itu, dalam imej di bahagian bawah pengkelasan kod “DozeWallpaperState” menunjukkan tugas apa yang perlu dilakukan oleh peranti jika ia beralih kepada mod AOD.

Namun begitu tetapan sebenar mengenai pengubahsuaian apa yang boleh dilakukan dengan AOD pada Android P ini masih belum diketahui sehingga versi Android P akan datang. Fungsi ini dilihat agak menarik dan kini Android asli yang dikatakan kekurangan fungsi dan bosan ini menawarkan semakin banyak ciri menarik. Sama-sama kita nantikan kehadiran Android P tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN