Oculus Go ialah peranti realiti maya kendiri yang diumumkan pada Oktober tahu lalu. Ia tidak memerlukan sebuah peranti pinta untuk beroperasi dan adalah perkakasan yang akan cuba melonjakkan Facebook sebagai kuasa besar dunia realiti maya. Di acara F8 pagi tadi Oculus Go mula dijual di 23 negara seluruh dunia.
Dua model dihasilkan dengan storan 32 dan 64GB. Ia dilengkapi skrin 2560 x 1440 WQHD dengan kepadatan pixel 538 ppi dan diperkasakan oleh pemproses Snapdragon 821. Seperti dilaporkan sebelum ini, Oculus Go dihasilkan dengan kerjasama Xiaomi. Terdapat sebuah pengawal permainan disertakan dengan setiap pembelian.
Sepasang pembesar suara dengan sokongan audio spatial terbina pada bahagian sisi Oculus Go tetapi terdapat bicu audio 3.5mm bagi pengguna yang lebih selesa dengan fon telinga. Akhir sekali terdapat penyesuai bagi mereka yang memakai cermin mata. Kerana ia menggunakan platform yang sama seperti Samsung Gear VR, sudah terdapat lebih seribu aplikasi yang boleh digunakan pada peranti realiti maya kendiri ini.
Harga jualan bagi Oculus Go bermula dari $199 (~RM 781) sebuah. Malaysia bukan negara gelombang pertama menerima peranti ini.