Carian
Microsoft Akan Memudahkan Anda Mengakses Skrin Telefon Pintar Terus Melalui Komputer Windows 10
May 8, 2018 Aman

Microsoft kini dilihat telah mengumumkan sebuah aplikasi baru dinamakan “Your Phone” untuk Windows 10, dimana melaluinya, ia membolehkan anda mengakses skrin telefon pintar anda terus melalui komputer Windows 10.

Secara tidak langsung, ia menawarkan ciri lebih kurang sama yang telah diperkenalkan oleh Dell pada awal tahun ini, ataupun Samsung yang sedia menawarkan Samsung Flow untuk pengguna mereka.

Windows Your Phone

Pengguna hanya perlu memuat-turun aplikasi Your Phone untuk Windows 10, dan seterusnya boleh menghubungkan telefon pintar ke komputer Windows mereka. Ia sekaligus akan memudahkan pengguna untuk mengakses notifikasi, mesej, gambar dan sebagainya daripada telefon pintar mereka.

Langkah ini dijangka akan meningkatkan lagi kadar produktiviti, dan pengguna tidak perlu sering melihat kepada skrin telefon pintar.

Buat masa ini, aplikasi berkenaan telah pun diterbitkan. Namun, masih pada peringkat ujian awal, dan hanya boleh digunakan bersama versi Windows Insider sahaja. Microsoft sendiri dijangka berkongsi lanjut mengenai aplikasi ini pada acara BUILD 2018 hari kedua esok.

Komen