Cari @ Amanz

Apple Watch ialah peranti boleh-pakai dengan jualan tertinggi pada tahun 2017. Ini adalah amat membanggakan kerana walaupun dijual pada harga yang mahal, ia lebih laku berbanding penjejak kesihatan keluaran Xiaomi dan Fitbit. Namun terdapat pengguna yang kurang berpuasa hati dengan Apple Watch yang dibeli. Di Amerika Syarikat, saman telah difailkan ke atas Apple oleh sekumpulan pemilik Apple Watch kerana masalah skrin jam tangan pintar ini yang tercabut secara rawak.

Apple Watch

Masalah ini sudah dilaporkan sejak Apple Watch Series 0 yang dilancarkan pada tahun 2015. Apple mengatakan skrin tercabut kerana bateri mengembung dan memberikan jaminan membaiki masalah ini selama tiga tahun. Tetapi pengguna melaporkan Apple tidak akan membaiki secara percuma skrin yang tertanggal jika bateri tidak mengembung. Mereka mendakwa Apple menyedari masalah ini kerana beberapa kali dilaporkan di forum rasmi dan Reddit namun tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

Pengguna terpaksa membayar sehingga $329 (~RM 1313) untuk membaiki Apple Watch mereka. Dengan saman ini mereka berharap kesemua pemilik Apple Watch pelbagai model akan diberikan gantian skrin percuma sekiranya masalah ini berlaku kepada mereka. Sebelum ini di United Kingdom seorang pengguna berjaya memaksa Apple membaiki skrin Apple Watch yang retak secara percuma. Mungkinkah perkara yang sama bakal berulang?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd