Apple dan Samsung ialah syarikat yang sering bertelagah di mahkamah kerana pelbagai kes saman. Sungguhpun begitu mereka masih meneruskan kerjasama dalam penghasilan komponen. Skrin iPhone misalnya dihasilkan oleh Samsung. Dua tahun yang lalu Samsung mengeluarkan cip Apple A9 sebelum Apple beralih sepenuhnya kepada TSMC untuk menghasilkan A10 Fusion dan A11 Bionic.
Kini kedengaran ura-ura Samsung cuba memenangi kontrak untuk menghasilkan cip Apple A13 untuk peranti Apple pada tahun 2019. Kontrak menghasilkan Apple A12 sudahpun diserahkan sepenuhnya kepada TSMC. Penghasilan Apple A13 dipercayai bakal menggunakan teknologi 7nm dan Extreme Ultraviolet Lithography (EUV) yang kompleks berbanding inFO (integrated fan-out) yang digunakan sekarang. Samsung dikatakan turut mengurangkan sebut harga sebanyak 20% bagi menarik minat Apple.
Tawaran ini mungkin menarik bagi Apple yang kini bergantung sepenuhnya kepada TSMC. Dengan wujudnya Samsung sebagai pesaing, ia boleh memaksa TSMC untuk menawarkan harga komponen pada harga yang lebih kompetitif .