Rekaan Samsung Galaxy Note 9 Tertiris Dengan Kedudukan Pengimbas Cap Jari Diubah

Rekaan Samsung Galaxy Note 9 Tertiris Dengan Kedudukan Pengimbas Cap Jari Diubah

Diterbitkan pada July 5, 2018 oleh .

Tarikh pelancaran Samsung Galaxy Note 9 telah diketahui berlangsung pada 9 Ogos hadapan. Turut diketahui ialah ia akan menggunakan bateri sebesar 4000 mAh dan S-Pen dengan sokongan Bluetooth. Hari ini rekaan peranti ini akhirnya tertiris menerusi imej pengolokan oleh pengeluar kerangka Olixar.

Perubahan rekaan hanya dapat dilihat pada kedudukan pengimbas cap jari yang kini terletak di bawah lensa dwi-kamera. Ini ialah kedudukan yang lebih ergonomik berbanding pada Note 8. Lebih mudah dicapai dan dapat mengelakkan jari mengotorkan lensa kamera. Tidak seperti Galaxy S9, dwi-kamera pada bahagian belakang masih disusun mendatar.

Bezel yang lebih kecil turut dapat dilihat pada bahagian dahi dan dagu peranti. Bicu audio dapat dilihat dikekalkan dan ini pastinya menggembirakan golongan yang belum bersedia untuk penggunaan fon telinga nirwayar sepenuhnya.

Seperti yang dapat dilihat pada Galaxy S9 tahun ini yang tidak banyak berubah berbanding Galaxy S8. Samsung juga tidak melakukan perubahan terlalu drastik pada Note 9 berbanding Note 8.


TIPS & ULASAN