Cari @ Amanz

Light merupakan salah satu syarikat yang memfokuskan kepada teknologi kamera futuristik. Sebelum ini Light telah hadir dengan sebuah kamera dinamakan L16 dan menyertakan sebanyak 16 lensa padanya untuk merakamkan gambar daripada pelbagai sudut dan menghasilkan gambar yang sangat baik.

Terkini, hari ini, syarikat berkenaan mengumumkan mereka menerima suntikan pelaburan daripada SoftBank dan juga pengeluar kamera terkemuka Leica Camera AG.

Light Telefon Sembilan Kamera

Dengan suntikan pelaburan ini, pihak Light turut berkongsi beberapa perkara. Pertamanya, telefon pintar dengan menggunakan teknologi kamera Light ini dijangka hadir sekitar bulan September kelak.

Melalui sokongan teknologi Leica, ia membolehkan sehingga sembilan lensa kamera diletakkan pada telefon – sekaligus menghasilkan rakaman gambar yang sangat cantik.

Selain integrasi teknologi pada telefon pintar yang akan diperkenalkan September kelak, Light turut merancang untuk bekerjasama dengan satu lagi pengeluar peranti untuk menyertakan antara 4 ke 9 kamera di telefon pintar pada tahun hadapan.

Buat masa ini, Light masih tidak mengumumkan pengeluar manakah yang akan menggunakan teknologi mereka. Adakah dengan pelaburan pihak Leica, kita boleh melihat ia hadir ke peranti Huawei? Atau mungkinkah terdapat pengeluar lain yang akan mengintegrasikan teknologi Light ini pada telefon pintar mereka?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd