Carian
Google Pixel 3 XL Clearly White Tertiris
July 30, 2018 Fahim Zahar

Lebih kurang dua bulan lepas berita di mana Google Pixel 3 akan hadir dengan rekaan skrin bertakuk telah kami laporkan. Kemudian prototaip peranti ini turut tertiris memperlihatkan rekaan yang selari dengan rekaan konsep yang tular di arena web. Hari ini, gambar prototaip Pixel 3 XL berwarna Clearly White tertiris dengan lebih jelas.

Sumber dari XDA ini, memperlihatkan sebuah Pixel 3 XL dengan variasi 4GB RAM. Ia masih lagi kekal dengan pembesar suara stereo di hadapan. Selain itu, turut jelas adalah panel belakang yang kelihatan seperti dibuat daripada kaca. Ini berkemungkinan besar adalah untuk sokongan pengecasan tanpa wayar.

Berbeza dengan mana-mana peranti lain, sokongan pengecasan tanpa wayar Pixel 3 adalah unik. Ini kerana ia akan menyokong dermaga pengecas yang boleh menjadikan peranti ini berubah menjadi sebuah pembesar suara pintar seakan Google Home.

Kehadiran Google Pixel 3 XL ini dijangka akan hadir dalam dua variasi iaitu 4GB RAM dan juga 6GB RAM. Maklumat lain masih belum diketahui. Seperti biasa, sama-sama kita nantikan kehadirannya kelak. Jika Google mengikut jejak langkah Pixel 2 – Pixel 3 mungkin akan hadir pada bulan Oktober tahun ini.

Komen