Cari @ Amanz

Tahun ini Xiaomi dilihat fokus dalam melancarkan telefon pintar utama. Pada bulan April mereka hadir dengan Mi Mix 2S, kemudian pada bulan Mei mereka hadir dengan Mi 8 dan Mi 8 Explorer Edition. Terkini, sebuah lagi dilihat menerima pengesahan penggunaan Snapdragon 845 dan juga dwi-kamera – Pocophone F1.

Maklumat ini adalah melalui dokumentasi pengesahan bluetooth buat peranti ini. Ia hadir dengan Snapdragon 845 dengan sistem penyejukan cecair, kamera dwi-lensa 12MP + 5MP 1.4µm dan kamera swafoto 20MP.

Lebih menarik, sistem kamera Pocophone F1 ini turut mempunyai kecerdasan buatan untuk nyahkunci berasaskan wajah, mengoptimasi gambar kurang cahaya dan juga mengurangkan noise. Ia akan menjalankan MIUI 10.

Menurut ura-ura daripada XDA, ia turut menggunakan skrin bertakuk 5.99-inci berresolusi FHD+ dan hadir dengan memori 6GB RAM dan 64/128 GB storan. Tiada maklumat lain yang diterima seperti rekaan, bahan binaan atau juga tarikh pelancaran. Sama-sama kita nantikan kehadiran peranti misteri Xiaomi ini kelak.

 

Sumber: XDA, melalui Launch Studio.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd