Cari @ Amanz

Siri komputer riba Lenovo ThinkPad lebih kerap digunakan oleh golongan perniagaan yang memerlukan sebuah komputer yang tahan lasak serta mempunyai fungsi yang selari dengan keperluan korporat. Ia sesuai digunakan untuk menghasilkan kertas kerja dan bukannya untuk peminat permainan video. Di IFA hari ini Lenovo ThinkPad X1 Extreme diumumkan sebagai ThinkPad pertama yang menggabungkan dua fungsi yang selama ini tidak bertindan di dalam gambar rajah Venn

Rekaan luarannya masih lagi menyerupai ThinkPad X1 Carbon yang dilancarkan awal tahun ini dengan permukaan hitam pusam dan tubuh yang dihasilkan daripada bahan aluminium, magnesium dan gentian karbon. Skrin 15.6″ IPS LCD dengan resolusi sehingga 4K dipadankan dengan pemproses Intel Core-i7 atau Core-i9. Skrin yang digunakan turut menyokong paparan HDR Dolby Vision serta sentuhan.

Ini dipadankan dengan memori sehingga 64GB dan dua slot untuk storan SSD PCIe dengan sokongan RAID 0/1. Kesemua RAM dan storan SSD boleh dinaik taraf sendiri oleh pengguna kerana tidak disadur kepada papan induk.

Sebuah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1050 Ti MaxQ disertakan bagi memenuhi keperluan permainan video bagi mereka yang ingin santai selepas seharian melakukan kerja di akhir hari. Menurut Lenovo kad grafik ini digunakan bagi mengimbangi keperluan sistem penyejukan untuk CPU, kad grafik dan sumber kuasa 135W yang digunakan. Sistem penyejukan dwi-kipas digunakan bagi memastikan ThinkPad X1 Extreme mampu berfungsi secara optimum.

Walaupun menggunakan nama “Extreme”, kesemua komponen asas ThinkPad iaitu papan kekunci berbentuk senyuman dengan travel 1.8mm, puting navigasi dan track pad dengan tiga butang fizikal masih lagi disertakan. Begitu juga dengan Think Shutter yang menutup kamera web secara fizikal bagi mereka yang mementingkan privasi. Pada waktu sama sistem nyahkunci menggunakan cap jari dan wajah menerusi Windows Hello turut boleh digunakan.

Berat keseluruhan komputer riba ini ialah sekitar 1.7 Kilogram dan masih lebih ringan berbanding sebuah MacBook Pro 15″ terkini. Akhir sekali komputer riba ini mampu beroperasi sehingga 15 jam dengan sekali caj. Dengan sokongan pengecasan pantas pula, 80% bateri boleh dicaj dalam masa sejam.

Lenovo ThinkPad X1 Extreme dengan pemproses Core-i7 akan dijual pada harga bermuka dari $1859 (~RM 7671) sebuah manakala model dengan Core-i9 akan dijual bermula Disember hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd