Cari @ Amanz

Pandang Pertama Sony Xperia XZ3 – Peranti Skrin OLED Pertama Sony Dengan Sistem Kawalan Pada Bingkai

Link Copied!

Telefon mudah alih Sony dahulu mempunyai reputasi rekaan yang inovatif, kalis air dan kemampuan kamera yang baik. Sejak akhir-akhir ini peranti yang ditawarkan kurang berdaya saing di pasaran kerana kekurangan fungsi, spesifikasi kurang menarik dan harga jualan yang kurang mampu milik. Di IFA 2018 yang baru berakhir di Berlin, Sony Xperia XZ3 dilancarkan dengan spesifikasi peranti mercu.

Seperti biasa setiap kemunculan peranti Xperia dinantikan oleh peminat tegar Sony. Kali ini Sony melakukan perubahan dengan akhirnya menggunakan skrin OLED serta sistem kawalan peranti pada bahagian bingkai. Adakah dua fungsi yang sudah terlebih dahulu diperkenalkan oleh pesaing mereka dapat memulihkan status Sony sebagai pengeluar peranti yang baik?

Spesifikasi

Sony Xperia XZ3
Skrin 6.0″ QHD+ OLED HDR (537 PPI)
Pemproses Snapdragon 845
Cip Grafik Adreno 630
RAM 4 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 64 Gigabyte UFS (MikroSD sehingga 512 GB)
Kamera Utama 19-Megapixel f/2.0, EIS, HDR
Kamera Depan 13-Megapixel f/2.0
Bateri 3300 mAh (Pengecasan Pantas + tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari
Harga Jualan ~RM 3359

Dengan skrin OLED sebesar 6-inci, Xperia XZ3 mempunyai skrin yang lebih besar berbanding XZ2 dan XZ2 Premium yang dilancarkan sebelum ini.  Skrin 18:9 ini menyokong resolusi QHD+ dan paparan HDR. Ini meletakkan spesifikasi skrin XZ3 setanding dengan Galaxy Note 9 setelah sekian lama menggunakan hanya skrin LCD.

Kaca 2.5D digunakan pada panel hadapan yang membuatkan pergerakan jari selesa dari skrin ke tubuh peranti. Warna hitam kini kelihatan lebih gelap dan kerana penggunaan skrin QHD+, imej yang dipaparkan adalah amat tajam. Satu perkara yang kami sedari bucu skrin kini bulat dan tidak bersudut tegak seperti Xperia terdahulu. Skrin XZ3 kini lebih kelihatan seperti sebuah Samsung Galaxy S9 dan LG G7. Seperkara lagi XZ3 kini menyokong sistem paparan Always On Display secara natif.

Menjana peranti ialah pemproses lapan teras Snapdragon 845, memori sebesar 4GB dan storan sebesar 64GB. Terdapat sokongan untuk kad mikroSD sehingga 512GB bagi mereka yang memerlukan storan lebih besar. Di sini kekurangan XZ3 mula kelihatan. Storan 128GB dan memori 4GB RAM adalah lebih rendah berbanding kebanyakan peranti mercu di pasaran. Seperti biasa Sony melangkah ke hadapan selangkah kemudian melangkah semula setapak dengan kegagalan untuk menyertakan spesifikasi yang tertinggi pada peranti mereka.

Kamera utama pada bahagian belakang adalah sebesar 19-Megapixel f/2.0. Eksperimen penggunaan dwi-kamera nampaknya berakhir dengan XZ2 Premium. Sensor kamera yang digunakan adalah yang sama seperti pada XZ2 yang mampu merakam video 4K HDR serta gerak perlahan sehingga 960 FPS menggunakan teknologi Motion Eye.

Kamera hadapan pula sebesar 13-Megapixel dengan lensa sudut lebar. Ini adalah saiz sensor yang sama seperti XZ2 Premium dan adalah penambahbaikan berbanding sensor hanya sebesar 5-Megapixel pada XZ2.

Fungsi swafoto 3D dan mengimbas objek secara tiga dimensi dikekalkan pada XZ3. Kedua-dua fungsi ini masih lagi unik untuk peranti Xperia kerana tidak ditiru oleh pengeluar lain. Ini sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada Sony berbanding pengeluar lain.

Pengimbas cap jari masih lagi terletak di bawah lensa kamera di panel belakang peranti. Sekali lagi kedudukan pengimbas cap jari ini terlalu di tengah sehingga sukar menggunakannya walaupun mempunyai permukaan yang bertekstur. Kerap kali jari menyentuh lensa kamera dan bukannya pengimbas cap jari. Aneh mengapa Sony tidak melakukan perubahan rekaan sedangkan ia adalah masalah utama yang diketengahkan kebanyakan pengguna dan pengulas sejurus selepas XZ2 dilancarkan.

Bateri yang digunakan hanya sebesar 3300 mAh. Dari pengalaman peribadi bateri dengan kapasiti ini tidak mampu memberikan ketahanan sepanjang hari pada peranti moden dengan pemproses mercu dan skrin yang bersaiz besar. Pengecasan semula dilakukan menerusi port USB-C yang menyokong pengecasan USB-PD. Terdapat juga pengecasan nirwayar menggunakan format Qi yang kini menjadi standard industri.

Rekabentuk

Panel Gorilla Glass 5 digunakan dengan kemampuan ketahanan hentakan terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini. Sungguhpun begitu tidak mengejutkan permukaan peranti memerangkap kotoran dengan amat mudah. Di saat ini kami merindui peranti utama yang menggunakan panel logam kerana masalah tidak mempunyai masalah kekotoran yang kronik seperti panel kaca.

Bercakap mengenai panel kaca, rekaan bahagian belakang XZ3 kini dikemaskini dengan lengkungan yang lebih kecil. Pada XZ2 sebelum ini permukaan belakangnya adalah terlalu melengkung sehingga peranti melungsur dari permukaan meja apabila menerima panggilan telefon atau ketika sistem audio S-Force diaktifkan. Rekaan semula ini turut mengurangkan ketebalan peranti dari 11.2mm pada XZ2 ke 9.9mm di XZ3. Peranti lebih selesa dipegang dengan rekaan baru ini.

Kesemua butang suara, kuasa dan kamera terletak pada sisi kanan. Talam dwi SIM bersaiz nano terletak pada bahagian atas. Ini adalah dari jenis hibrid dimana slot SIM kedua akan diambil oleh kad mikroSD. Pada bahagian bawah terdapat satu slot pengecasan USB-C .

Keseluruhan sisi peranti  yang diperbuat daripada logam dibulatkan dengan tujuan membuatkan peranti kelihatan seperti batuan sungai yang cantik. Tetapi oleh sebab yang sama peranti ini amat licin dalam genggaman sehingga kami merasakan adalah perlu membeli kerangka tahan lasak bagi mengelakkan kerosakan berlaku sekiranya terjatuh.

Peranti melepasi piawaian kalis air serta debu IP68. Piawaian ini adalah perlu kerana peranti perlu kerap dibersihkan dengan air kerana mudah kotor seperti kami katakan beberapa perenggan yang lalu.

Pada bahagian hadapan terdapat sistem pembesar suara stereo S-Force yang menghala ke hadapan yang dipadankan dengan sistem gegaran haptik Dynamic Vibration System. Sistem ini membolehkan pengguna merasakan gegaran yang diselarikan dengan audio. Ini sesuai digunakan ketika menonton filem aksi atau menggunakan permua. Tetapi berdasarkan penggunaan peranti lain yang menggunakan Dynamic Vibration System, kami masih merasakan ia hanya sekadar gimik yang mungkin akan dinyahaktifkan kerana hanya meningkatkan penggunaan bateri.

Bercakap mengenai audio, tiada bicu audio disertakan. Output audio adalah menerusi port USB-C. Sony menyertakan penyesuai USB-C ke bicu audio dengan setiap pembelian. Bagi peminat audio, Xperia Z3 mampu memainkan audio beresolusi tinggi (LPCM, FLAC, ALAC, DSD) disamping sokongan format LDAC dan Qualcomm aptX HD apabila menerusi aksesori audio bluetooth 5.0.

Secara keseluruhan rekaan Sony Xperia XZ3 bolehlah dikatakan menarik kerana mengisi keperluan pasaran semasa. Dagu dan dahi gergasi yang kerap dikaitkan dengan peranti Xperia kini akhirnya pupus. Panel belakang mempunyai lengkungan yang lebih selesa di dalam genggaman tangan. Skrin pula akhirnya berteknologi OLED yang memaparkan warna lebih hidup. Tetapi pada waktu yang sama pengimbas cap jari yang kurang ergonomik masih lagi digunakan.

Kami secara peribadi merasakan XZ3 tidak lagi kelihatan seperti sebuah peranti rekaan Sony. Rekaannya kami kategorikan sebagai pelanduk dua serupa dengan Sony, Oppo, Vivo, Huawei dan LG. Bagi seorang peminat rekaan Sony, kami meratapi kematian rekaan unik mereka tetapi menyedari ia tidak lagi selari dengan kehendak pasaran yang inginkan peranti dengan peratusan skrin yang besar berbanding permukaan hadapan.

Antaramuka

Xperia XZ3 adalah peranti terawal dilancarkan dengan Android Pie. Tetapi pelancar yang digunakan tidak berbeza dari pelancar yang digunakan pada Android Oreo sebelum ini. Masih terdapat butang khas untuk melancarkan talam aplikasi. Tetapi pada waktu yang sama, talam aplikasi ini turut boleh dilancarkan dengan menatal dari bawah ke atas..

Rekaan antaramuka adalah ringkas dan lancar semasa kami menggunakannya di lantai reruai Sony. Namun fungsi tambahan yang ditawarkan XZ3 adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan pesaing mereka di pasaran. Di bawah ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan.

3D Creator – Pengimbas tiga dimensi yang wujud pada XZ2 kembali lagi dengan beberapa penambahbaikan. Ia kini jauh lebih mudah digunakan. Imbasan wajah boleh dilakukan sendiri oleh pengguna dengan 3D Selfie.

Dynamic Vibration System – Peranti bergegar segerak dengan alunan muzik atau runut bunyi video yang ditonton. Banyak mengingatkan kami kepada sistem Virtual Motion Sound System (VMSS) pemain kaset Panasonic Shock Wave pada dekad 90an dahulu.

Lift To Check Device – Fungsi seakan Raise to Wake pada iOS. Skrin hidup dengan sendiri apabila peranti diangkat.

Melancarkan kamera dengan pantas – Selain menekan butang pengatup kamera. Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Multi Window – Menggunakan sistem multi-tingkap natif Android Oreo bagi melancarkan dua aplikasi serentak.

One-Handed Operation – Mengecilkan saiz paparan skrin supaya lebih mudah digunakan sebelah tangan. Ini diaktifkan dengan menatal dari bucu bawah kiri atau kenan ke arah tengah skrin atau menerusi Side Sense.

Quick Search – Carian pantas fail dan aplikasi dari dalam peranti. Tatal skrin dari atas ke bawah dan skrin carian akan muncul. Lapan aplikasi paling kerap digunakan turut akan dipaparkan secara automatik.

Sketch – Aplikasi lakaran dengan pelbagai pilih berus dan pena bagi menghasilkan karya seni dengan pantas.

Theme – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

Xperia Actions – Pelbagai sistem automasi seperti mematikan notifikasi ketika sesi permua dan sistem pemasa menghalang gangguan ketika waktu tidur.

Side Sense

Side Sense ialah fungsi terkini yang diperkenalkan oleh Sony. Menerusi Side Sense, peranti boleh dikawal dengan menyentuh bahagian bingkai peranti. Ia diaktifkan dengan melakukan aksi dwi-tap. Sebuah menu akan muncul dalam tingkap kecil yang memaparkan sembilan aplikasi yang mungkin diperlukan pengguna.

Sistem kecerdasan buatan XZ3 akan mengubah paparan aplikasi ini bergantung kepada tabiat pengguna. Misalnya ia boleh mengesan pengguna di pejabat dan kerap menggunakan Skype. Apabila Side Sense diaktifkan di pejabat, Skype akan dipaparkan dalam senarai aplikasi pilihan.

Selain itu butang untuk mod sebelah tangan, skrin tetapan dan notifikasi turut boleh dipaparkan bersama dengan beberapa pintas seperti WiFi. Skrin Side Sense ini akan muncul pada sisi bingkai mana yang ditap. Tiada masalah Side Sense tidak mempedulikan pengguna kidal.

Side Sense turut boleh digunakan untuk mengawal pengatup kamera. Dari dalam aplikasi kamera, dwi-tap bingkai untuk menangkap gambar. Akhir sekali dwi-tap juga boleh diprogramkan untuk menjadi butang back pada peranti.

Bolehlah dikatakan Side Sense ialah sistem yang seakan sama dengan Edge Sense yang diperkenalkan oleh HTC menerusi HTC U11 tahun lalu.

Kesimpulan

Dengan Xperia XZ3, Sony akhirnya mengikut trend pasaran menggunakan skrin OLED tetapi tanpa takuk. Ini mungkin boleh dibanggakan kerana terlalu banyak peranti skrin bertakuk di pasaran sekarang. Pujian juga boleh diberikan kepada Sony kerana masih mengekalkan sistem audio stereo di bahagian hadapan.

Di atas kertas peranti ini mempunyai spesifikasi yang baik cuma saiz RAM dan storan yang lebih kecil berbanding peranti mercu lain di pasaran. Hanya 4GB RAM ditawarkan manakala versi 6GB terhad untuk pasaran Taiwan. Penggunaan satu kamera utama juga boleh dianggap berani kerana tiadanya sokongan zoom optikal yang boleh dikatakan mula menjadi standard. Sony mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa penggunaan hanya satu kamera sudah memadai.

Tubuh yang direka semula lebih selesa dipegang dan kami lebih menyukai rekaan XZ3 berbanding XZ2. Tetapi masalah lama ia memerangkap cap kotoran dan terlalu licin masih lagi tidak diselesaikan bersama dengan kedudukan pengimbas cap jari yang canggung.

Sony Xperia XZ3 ialah sebuah lagi percubaan Sony untuk kekal relevan di dalam dunia telefon pintar. Seperti biasa pengguna akan menjadi hakim sama ada usaha terkini mereka ini akan berjaya. Kami secara peribadi merasakan perubahan yang dilakukan mungkin tidak mencukupi untuk menarik semula minat pengguna terhadap jenama ini. Tambahan lagi harga peranti ini adalah lebih mahal berbanding peranti mercu lain yang mempunyai spesifikasi yang lebih baik. Nantikan ulasan Xperia XZ3 sekiranya ia memasuki pasaran tempatan kelak.


Komen ()