Carian
Imej Pengolokan Rasmi Google Pixel 3 Dan Pixel 3 XL Memperlihatkan Dua Rekaan Berbeza
September 19, 2018 Effi Saharudin

Takuk atau nirtakuk? Yang mana lebih menambat hati pembaca-pembaca Amanz. Saya secara peribadi tidak lagi mempedulikan kewujudan takuk kerana trend semasa menyebabkan ia wujud dalam jumlah yang banyak sejak dipopularkan oleh iPhone X. Rekaan Google Pixel 3 XL yang tertiris awal bulan lalu membuatkannya tidak lagi misteri. Tetapi pagi ini imej pengolokan rasmi untuk Pixel 3 XL dan Pixel 3 telah tertiris dan menunjukkan perbezaan rekaan dua peranti bersaudara ini.

Pixel 3 XL mempunyai takuk yang agak besar pada bahagian atas. Ini adalah kerana keperluan menyertakan dua pembesar suara stereo pada bahagian hadapan. Tetapi jelas kelihatan pembesar suara pada takuk lebuh kecil berbanding pada bahagian dagu.

Pada Pixel 3 rekaan yang lebih tradisional digunakan iaitu skrin bersaiz lebih kecil dengan nisbah 16:9 nirtakuk. Kedua-dua pembesar suara pada bahagian hadapan mempunyai saiz yang simetri.

Rekaan panel belakang terhalang kerana kewujudan kerangka rasmi dari Google tetapi menunjukkan penggunaan satu kamera utama sahaja seperti model-model Pixel terdahulu. Google Pixel 3 XL dan Pixel 3 akan dilancarkan pada 9 Oktober hadapan bersama dengan Google Home Hub.

Komen