Pada minggu pertama bulan ini, Xiaomi dikatakan bakal lancarkan Mi 8 Youth. Pada mulanya ia disangkakan adalah Mi 8 SE versi global, tetapi kini jelas ia adalah satu model baharu. Hari ini, Mi 8 Youth dilancarkan dan ia dikatakan adalah pesaing kepada iPhone XR.
Xiaomi Mi 8 Youth yang baru dilancarkan sebentar tadi hadir dengan skrin bertakuk yang lebih kecil dari iPhone XR. Walau pun jika dilihat sekali imbas dagu dan dahinya sedikit tebal, Xiaomi dengan bangganya menyatakan bingkai sisi mereka adalah lebih nipis dari iPhone XR. Selain itu keseluruhan ketebalan juga adalah lebih nipis dari pesaing lain.
Dari segi spesifikasi Mi 8 Youth Edition dilengkapi skrin 6.26″ LCD dengan resolusi FHD+. dijana pemproses Snapdragon 660, memori sehingga 6GB RAM dan storan sehingga 128GB tanpa sokongan kad mikroSD. Kamera utama adalah gabungan sensor 12+5 Megapixel dan kamera swafotonya pula sebesar 24-Megapixel dengan sokongan kecerdasan buatan buat kedua-dua bagaian kamera. Bateri sebesar 3350mAh membekalkan kuasa dan menyokong pengecasan pantas QC3.0 melalui port USB-C.
Tiada bicu audio pada Mi 8 Youth iaitu sama seperti siri Mi 8 yang lain. Sistem operasinya pula ialah Android 8.1 dengan antaramuka MIUI 9.6. Harga yang ditawarkan bermula dari RMB1399 (~RM845) untuk 4+64 GB, RMB1699 (~RM1026) untuk 6+64 GB dan untuk 6+128 GB pula adalah RMB1999 (~RM1208). Warna yang boleh dipilih adalah warna hitam, cerun merah dan cerun biru. Ia mula dijual di China pada 25 September kelak dan untuk pasaran tempatan masih belum ada khabar.