Xiaomi Mi 8, Mi 8 EE dan Mi 8 SE adalah tiga siri Mi 8 yang kini berada di pasaran. Mi 8 dan Mi 8 EE adalah peranti mercu yang dijana dengan Snapdragon 845, manakala Mi 8 SE adalah peranti kelas pertengahan premium yang dijana cip Snapdragon 710. Kini, menurut sumber Xiaomi mungkin akan hadir dengan dua lagi siri Mi 8.
Mi 8 Youth Edition dan Mi 8 UD Fingerprint Edition adalah dua peranti tersebut. Mi 8 Youth berkemungkinan besar adalah Mi 8 SE untuk pasaran global. Ini kerana dari apa yang tertiris, ia mempunyai spesifikasi yang hampir sama. Manakala, Mi 8 UD Fingerprint secara asasnya adalah Mi 8 EE dengan panel belakang yang tidak lutsinar.
Menurut sumber, Mi 8 Youth akan hadir dalam variasi 64/4 GB, 64/6 GB dan 128/6 GB dengan pilihan warna kelabu, emas dan biru. Mi 8 UD Fingerprint pula akan ditawarkan dalam variasi 128/6 GB dan 128/8 GB dengan pilihan warna hitam atau emas sahaja. Maklumat jelas setakat ini adalah Mi 8 Youth, di mana ia mungkin akan dijual pada harga RMB1999 (~RM1212). Tiada lagi maklumat lanjut mengenai Mi 8 UD Fingerprint.
Kedua-dua siri Mi 8 baru yang tertiris ini dikatakan akan hadir pada bulan September. Tidak pasti sama ada ia akan memasuki pasaran tempatan atau tidak. Setakat ini, peranti Xiaomi terbaru yang sudah memasuki Sirim adalah Mi Max 3. Sama-sama kita nantikan.