Cari @ Amanz

Peranti realiti maya generasi pertama Oculus Rift memerlukan sebuah PC untuk berfungsi. Kemudian Galaxy Gear VR pula dihasilkan dengan teknologi Oculus tetapi masih memerlukan sebuah telefon pintar sebagai enjin grafik. Awal tahun ini Oculus Go pula dihasilkan sebagai peranti realiti maya kendiri pertama oleh anak syarikat Facebook ini. Pagi ini Oculus Quest pula dilancarkan dengan sokongan pergerakan 6DOF.

Quest adalah lebih berkuasa berbanding Go kerana dilengkapi pemproses Snapdragon 835, memori sebesar 4GB RAM dan storan sebesar 64GB. Setiap  skrin mempunyai resolusi 1600×1440 pixel yang juga lebih tinggi. Empat sensor pada Quest turut membolehkannya mengesan kedudukan secara masa nyata bagi membolehkan pemakai bergerak di dalam dunia maya secara 6DOF. Tambahan lagi ia turut menyokong alat pengawal haptik Oculus Touch.

Sebanyak 50 permainan realiti maya disokong oleh Quest. Apabila ia mula dijual sekitar Mac 2019 kelak, siri Vader Immortal: A Star Wars VR turut boleh ditonton. Bagi yang berminat, Oculus Quest dijual pada harga $399 (~RM 1656).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd