Siri Black Mirror menyentuh situasi serius yang mungkin berlaku apabila teknologi disalahgunakan. Malahan salah satu episod musim kedua Black Mirror berkenaan “markah kredit sosial” telahpun menjadi realiti di China. Musim kelima siri popular Netflix ini akan hadir pada penghujung tahun. Menarik sekali kali ini episod interaktif akan ditawarkan.
Menerusi episod ini, penonton boleh memilih hala tuju episod yang ditonton. Ini sebenarnya bukan teknologi baru dari Netflix kerana mereka telah menguji format yang sama pada siri animasi Stretch Armstrong dan Puss in Book. Black Mirror walau bagaimanapun adalah siri pertama dengan kandungan lebih matang yang menerima sentuhan interaktif.
Idea interaktif ini boleh dijejak dari zaman DVD. Pada tahun 1998, DVD The Matrix mempunyai kandungan interaktif Follow The White Rabbit. Apabila arnab muncul di skrin, penonton perlu menekan butang alat kawalan jauh pemain DVD untuk melihat kandungan interaktif sebelum kembali semula ke filem.