Facebook Dilaporkan Sedang Membangunkan Set Kotak TV Dengan Kamera

Facebook Dilaporkan Sedang Membangunkan Set Kotak TV Dengan Kamera

Diterbitkan pada Okt 17, 2018 oleh .

Facebook baru-baru ini telah memperkenalkan sebuah peranti khusus yang hadir dengan kamera dan skrin untuk memudahkan pengguna kekal berkomunikasi dan membuat panggilan video, dinamakan sebagai Portal.

Facebook Portal

Kini, laporan lanjut hadir mengatakan gergasi laman sosial berkenaan turut sedang membangunkan sebuah set kotak khusus dilengkapi kamera untuk memudahkan pengguna menghubungkannya ke kaca televisyen. Projek berkenaan dikenali dengan nama “Ripley” buat masa ini.

Melalui perkakasan ini, ia akan membolehkan pengguna menghubungkan set kotak berkenaan kepada televisyen – sekaligus membolehkan pengguna membuat panggilan video, selain mengikuti kandungan media melaluinya.

Mengikut laporan awal juga, Ripley ini dikatakan akan dibangunkan menggunakan sistem sama seperti Portal – sekaligus memperlihatkan ia akan menawarkan ciri lebih kurang sama memfokuskan panggilan video, selain mungkin turut hadir dengan fokus terhadap ciri Facebook Watch.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Facebook akan melancarkannya. Sekiranya ia hadir ke pasaran, ia sekaligus akan bersaing dengan beberapa kotak set TV yang lain, termasuk Apple TV dan juga Mi Box.



TIPS & ULASAN