Cari @ Amanz

Bersama-sama pengenalan MacBook Air dan juga Mac Mini, Apple turut telah memperkenalkan tablet terbaru mereka, iaitu iPad Pro. Apple iPad Pro baru hadir dengan rekaan yang serba baru – dimana ia kini menawarkan rekaan bingkai skrin yang nipis. Dengan rekaan bingkai nipis, ia sekaligus membawakan saiz yang lebih kompak berbanding sebelum ini.

Apple iPad Pro

iPad Pro baru hadir dalam dua variasi, iaitu 11-inci dan juga 12.9-inci. Melengkapkan tablet ini juga adalah sokongan Face ID untuk pengesahan sekuriti, selain memudahkan ia untuk nyah-kunci dan pembayaran menggunakan tablet berkenaan. Kesemua sensor diposisikan pada bahagian bingkai, sekaligus mengelakkan sebarang integrasi takuk pada tablet ini. Penggunaan Face ID juga turut membolehkan Apple membuang butang Home, selain mengintegrasikan kawalan berasaskan gesture pada tablet ini.

Apple iPad Pro

Menjana tablet ini adalah cip pemprosesan Apple A12X Bionic yang hadir dengan rekaan menggunakan cip 7nm – sekaligus menjadikannya sebagai tablet pertama dengan cip seumpamanya di dunia. Dari segi sokongan grafik, Apple mengatakan tablet ini menawarkan sokongan grafik seumpama Xbox One.

Apple iPad Pro kini turut hadir dengan sokongan port USB-C, sekaligus memudahkan anda menghubungkan tablet ini bersama sejumlah aksesori di pasaran, mahupun ke panel paparan yang lain. Menariknya, ia kini turut boleh digunakan untuk cas keluar, sekaligus membolehkan anda mengecas peranti lain seperti telefon pintar anda yang lain.

Apple iPad Pro

Melengkapkan tablet ini juga adalah sokongan Apple Pencil untuk memudahkan input – selain turut boleh dihubungkan secara magnetik ke iPad anda. Apple Pencil juga akan mengecas secara automatik apabila ia dihubungkan ke iPad Pro anda yang baru ini.

Apple iPad Pro

Untuk kamera belakang, iPad Pro hadir dengan sensor 12-megapixel – yang mana bukan boleh digunakan untuk rakaman video 4K, tetapi juga untuk tujuan realiti gabungan. Apple mengatakan tablet ini menyokong ketahanan bateri untuk penggunaan selama 10 jam lamanya.

Apple iPad Pro akan ditawarkan dalam beberapa pilihan variasi storan – sehingga 1TB. Kedua-dua saiz iPad Pro juga akan ditawarkan dalam pilihan selular, dan dipasarkan di Amerika Syarikat bermula minggu hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd