Selain memperacahkan rekaan peranti skrin boleh lipat pertama dengan teknologi Infinity Flex Display, Samsung turut memperlihatkan rekaan antaramuka terbaru mereka One UI. One UI akan menggantikan Samsung Experience yang baru berusia dua tahun. Sebelum ini antaramuka One UI telah tertiris pada Samsung Galax S9 yang menggunakan Android Pie.
One UI direka bukan sahaja untuk peranti skrin memanjang tetapi juga digunakapakai pada peranti boleh lipat mereka kelak. Ikon kini lebih bulat dan tiga butang navigasi atas skrin turut diberikan nafas baru. Memandangkan One UI adalah berasaskan Android Pie, penggunaan tiga butang navigasi ini kelihatan sedikit canggung kerana Android asli sudah berubah ke sistem navigasi gesture sepenuhnya.
Antara fungsi baharu One UI ialah tema berwarna gelap. Tema ini boleh dikustomasi lagi di mana ia boleh dipadankan dengan warna tubuh peranti misalnya. Secara keseluruhan antaramuka mempunyai rekaan yang lebih minimalis, ikon berbentuk bulat dan elemen antaramuka dengan bucu yang juga dibulatkan.
One UI akan boleh diuji awal oleh pengguna Android Pie Beta yang ditawarkan di China, Perancis, India, Poland, Korea Selatan, Sepanyol, UK dan AS sahaja buat masa ini.