Carian
BrainGate Membolehkan OKU Lumpuh Mengawal Tablet Menggunakan Gelombang Otak
November 26, 2018 Effi Saharudin

Teknologi amat berguna untuk memperkasakan golongan OKU yang menempuh pelbagai halangan fizikal. Pada telefon pintar terdapat fungsi Accessibility yang membolehkan golongan OKU menggunakan peranti dengan normal. Tetapi ini masih memerlukan sentuhan fizikal pada skrin. Bagi golongan OKU lumpuh seluruh tubuh, BrainGate telah dibangunkan untuk membolehkan mereka mengawal tablet dengan membaca gelombang otak.

BrainGate ialah implan untuk sistem antaramuka otak-komputer (Brain Computer Interface BCI) yang dipasang terus pada kepala. Menerusi BrainGate, insan lumpuh boleh mengawal sebuah tablet Google Nexus 9 yang diubahsuai. Isyarat dari otak dihantar kepada alat bluetooth yang kemudiannya menggerakkan kursor pada tablet seperti sebuah tetikus.

Di dalam ujian yang telah dijalankan, pengguna boleh menaip 30 aksara dalam masa seminit atau 22 kawalan pergerakan tetikus seminit. Ini membolehkan mereka menggunakan aplikasi pemesejan untuk berinteraksi, menulis emel dan melayari YouTube tanpa bantuan.

Sistem BrainGate membolehkan insan lumpuh lebih berdikari berbanding sebelumnya. Selain BrainGate, Samsung turut membangunkan sistem kawalan otak untuk televisyen. Di Jepun pula OKU lumpuh kini melakukan ujian mengawal robot secara jarak jauh untuk bekerja sebagai pelayan restoran.

Komen