Carian
Nubia Red Magic Mars Dilancarkan Dengan 10GB RAM Dan Dua Butang Kapasitif Pada Sisi
November 28, 2018 Effi Saharudin

Kewujudan Nubia Red Magic Mars telah diperacahkan bulan lalu. Hari ini ia akhirnya telah dilancarkan secara rasmi dengan pemproses Snapdragon 845, dua butang kawalan kapasitif untuk permua pada bahagian sisi dan memori sebesar 10GB RAM. Ini ialah model kemas kini kepada Nubia Red Magic yang dilancarkan April tahun ini.

Spesifikasi lengkap Red Magic Mars ialah skrin 6″ IPS LCD FHD+, cip pemproses Snapdragon 845, memori 6/8/10GB RAM, storan 64/128/256GB dan bateri sebesar 3800 mAh. Ia menyokong pengecasan pantas Neocharge 16W menerusi port USB-C. Kamera utama adalah sebesar 16-Megapixel f/1.8 dan kamera hadapan pula sebesar 8-Megapixel f/2.0. Kamera utama ini boleh merakam video pada resolusi 4K atau gerak perlahan 240 FPS.

Pada bahagian belakang terdapat sistem lampu RGB. Dua pembesar stereo terletak di bahagian hadapan dengan sokongan audio DTS 7.1. Bagi memastikan peranti sejuk ketika sesi permua, sistem penyejukan ICE disertakan yang dilengkapi dua paip penyejuk.

Terdapat aksesori pengawal permainan yang menambah tombol kawalan fizikal dan pad arah digital. Akhir sekali pelancar Red Magic OS 1.6 digunakan dan ia berasaskan Android Pie. Di China Nubia Red Magic Mars dijual pada harga bermula dari RMB 2699 (~RM 1630).

Komen