Cari @ Amanz

Membina Peranti Sempurna 2018 – Ini Komponen-Komponen Pilihan Kami

Link Copied!

Kita sudah tiba ke pertengahan Disember 2018 dan tiada lagi setahu kami peranti mercu akan dilancarkan selepas ini. Kesemua pengeluar utama telah mengeluarkan peranti terbaik mereka sejak 12 bulan yang lalu setiap satunya dengan pelbagai fungsi tambahan yang menarik bagi mendapatkan perhatian dan wang pengguna.

Tetapi umum diketahui tidak ada peranti yang sempurna di pasaran. Ini adalah kerana faktor kos serta fungsi yang harus diimbangi. Oleh itu kami terpanggil untuk menghasilkan sebuah peranti fantasi yang sempurna. Ia akan menggabungkan ciri-ciri terbaik pelbagai peranti mercu tahun ini ke dalam sebuah telefon pintar yang boleh dinobatkan sebagai raja segala peranti. Berikut ialah komponen-komponen serta ciri yang kami rasakan perlu ada.

Kerangka – Samsung Galaxy Note 9

Kenapa kami memilih kerangka Samsung Galaxy Note 9 sebagai tubuh kepada kepada peranti terbaik? Jawapannya mudah kerana ia adalah peranti mercu yang menggabungkan skrin besar nirtakuk, bicu audio, sistem pembesar suara stereo, bateri yang besar, sistem pengecasan nirwayar, kemampuan kalis air IP68 dan sebuah stylus.

Kesemuanya di dalam kerangka yang kompak dan masih selesa dipegang. Ini dipadankan lagi dengan panel kaca melengkung yang cantik. Rekaan Galaxy Note 9 juga asli tanpa mengambil “inspirasi” dari iPhone seperti yang dilakukan oleh pengeluar lain tahun ini. Kemampuan Samsung memuatkan pelbagai fungsi tanpa membuang bicu audio serta penggunaan bateri yang kecil yang menjadi alasan pengeluar lain untuk membuangkan komponen harus dipuji.

Skrin – Samsung Galaxy Note 9

Skrin terbaik 2018 pada hemat kami ialah yang digunakan pada Samsung Galaxy Note 9. Ia mempunyai resolusi yang tinggi, paparan warna yang terbaik dan rekaan melengkung sisi yang cukup seksi. Bonus tambahan diberikan kerana tidak menggunakan takuk yang cukup dibenci pengguna Amanz. Pemilihan skrin Samsung kami yakin tidak mengejutkan pembaca keran mereka mendominasi pasaran skrin OLED peranti dengan pegangan 93.3% pasaran. Malahan kepakaran mereka membuatkan Apple tidak mempunyai masalah menjadikan mereka pengeluar utama skrin OLED yang digunakan pada XS dan XS Max.

Pemproses – Apple A12 Bionic

Apple A12 Bionic ialah pemproses paling berkuasa untuk telefon pintar tahun 2018. Ia jauh meninggalkan Snapdragon 845, Kirin 980 dan Exynos 9810 yang digunakan pada peranti Android. Kemampuan grafiknya juga amat tinggi sehingga permua Fortnite hanya menyokong mod 60FPS pada peranti iOS yang menggunakan cip ini. Semua dilakukan dengan baik dan pantas walaupun ia hanya dilengkapi enam teras. Pemilihan Apple A12 Fusion sebagai pemproses adalah amat mudah dilakukan.

RAM – 8 GB

Berapakah RAM yang diperlukan. Ini persoalan yang kerap kami terima di ruangan komen laman. Sebenarnya kami merasakan 6GB adalah lebih dari mencukupi bagi sebuah peranti Android 2018. Dari pengalaman peribadi sehingga 10 aplikasi boleh dilancarkan tanpa perlu melakukan segar semula apabila diaktifkan semula. Tetapi kita sedang membina peranti sempurna dan 8GB pada hemat kami adalah memadai. Memang sudah ada peranti dengan 12GB RAM tetapi setakat ini kami masih merasakan ia gimik sehingga lebih dari yang diperlukan untuk sebuah peranti.

Storan – 512 GB UFS dengan sokongan kad Mikro SD

Tahun 2018 melihat kemunculan telefon pintar dengan storan sebesar 512GB UFS yang pantas. Ini ialah saiz yang amat sesuai untuk keperluan semasa bagi membolehkan rakaman video, mengambil gambar dan muat turun aplikasi dapat dilakukan tanpa had. Sekiranya storan ini habis digunakan sepenuhnya, peranti sempurna hadir dengan sokongan kad mikro SD sebesar 512GB seperti yang ditemui pada Galaxy Note 9. Pada peranti sempurna kami, masalah kekurangan storan tidak akan berlaku.

Kamera – Huawei Mate 20 Pro

Kamera pada Huawei Mate 20 Pro adalah yang terbaik untuk tahun 2018 kerana mempopularkan mod ultra sudut lebar, sensor gergasi dan kemampuan rakaman waktu malam yang amat baik. Seperti yang kami katakan di dalam ulasan Mate 20 Pro, ini memberikan kelebihan kepada Huawei berbanding Samsung dan Apple yang tidak memperkenalkan fungsi yang benar-benar berbeza berbanding model tahun sebelumnya.

Ia cukup pintar mengenali situasi gambar yang akan diambil. Mempunyai beberapa pra-tatepan yang setakat ini tidak mengecewakan kami. Sebagai pengguna yang kurang mahir menggunakan kamera, Mate 20 Pro memastikan kami boleh mengambil gambar yang baik walaupun did alam mod automatik.

Video – iPhone XS Max

Rakaman video terbaik pada peranti pintar tahun ini jatuh kepada iPhone XS Max. Kami katakan terbaik kerana ia mampu merakam pada tetapan 4K 60FPS tanpa peranti menjadi panas. Malahan sekiranya anda kerap menonton siri #SembangLebat di saluran Amanz, kami merakamnya menggunakan dua iPhone XS. Ia boleh merakam untuk tempoh yang lama tanpa ia terhenti.

Peranti Android lain mempunyai had rakaman video sehingga 30 minit sahaja. Pada SLR pula sensor akan menjadi panas dan sekali lagi rakaman boleh terhenti secara tiba-tiba. Rakaman audio pada iPhone XS juga amat baik berbanding pesaing.

Audio – Razer Phone 2

Audio terbaik pada sebarang peranti yang kami ulas tahun ini ditemui pada Apple iPad Pro 12. Tetapi kita sedang cuba membina sebuah telefon pintar sempurna dengan saiz tubuh yang kecil maka adalah mustahil untuk menggunakan sistem empat pembesar suara iPad Pro. Oleh itu kami rasakan sistem audio Razer Phone 2 adalah yang paling sesuai digunakan.

Ia cukup besar dan lantang sehingga mencecah 100 dB pada tetapan tertinggi. Ini membuatkannya sesuai untuk menonton video pada peranti dan juga sesi permua ketika masa senggang. Lokasi pembesar suara pada bahagian hadapan juga membuatkan audio tidak terhalang atau menembak ke sisi seperti pada peranti lain.

Bateri – 4200

Bateri 4200 mAh Huawei Mate 20 Pro kami gunakan sebagai bateri pilihan ia adalah terbesar bagi peranti mercu dengan skrin di bawah 6.4″. Dalam penggunaan seharian ia mampu bertahan selama 23 jam dan SOT terbaik sekitar 9 jam. Saiz bateri ini perlu bagi memastikan peranti tidak perlu dicas sebelum melelapkan mata pada waktu malam.

Pengecasan – USB PD + USB-C

Terdapat banyak format pengecasan pantas tahun ini seperti Super VOOC, QuickCharge 4+, Warp Charge dan SuperCharge 2.0. Kesemuanya hadir dengan kuasa yang tinggi sehingga 50W. Namun seperti yang pernah kami sentuh di dalam podcast Amanz, format pengecasan telefon pintar sepatutnya diselaraskan menggunakan USB-PD dan sambungan USB-C. Dengan ini pengguna hanya memerlukan satu pengecas untuk mengecas telefon pintar, tablet dan komputer riba. Ini memastikan kesemua peranti dapat menikmati pengecasan pantas tanpa perlu pening kepala memikirkan format pengecasan berbeza.

Sistem Operasi – Android Pie

Peranti adalah hanya sebaik sistem operasinya. Sebagai pengguna iOS dan Android, kami merasakan Android Pie mempunyai kelebihan tahun ini kerana mempunyai lebih banyak fungsi menarik. Sistem yang digunakan juga memberikan pelbagai kustomasi kepada pengguna. Navigasi berasaskan gesture Android Pie juga lebih mesra pengguna berbanding iOS 12. Peranti yang sempura harus memberikan penggunaan yang lancar serta kebebasan untuk memilih. Oleh sebab itu Android Pie menjadi pilihan dan bukannya iOS 12.

Sistem Biometri – FaceID

Nyahkunci menggunakan wajah menjadi fungsi perlu ada pada peranti Android tahun ini dan mula diperkenalkan pada peranti kelas permulaan. Terdapat pelbagai jenis di pasaran seperti imbasan iris, infra merah, 3D dan juga imbasan biasa. Tetapi sistem imbasan wajah terbaik yang kami gunakan ialah Apple Face ID.

Kami katakan terbaik kerana ia mampu mengenali wajah pengguna walaupun selepas membuka cermin mata, memakai cermin mata gelap, mencukur misai serta janggut dan rambut digunting. Ia cukup pintar untuk mengenai wajah pengguna yang berubah saban hari.

Pada iPhone XS, XS Max dan XR tahun ini imbasan wajah adalah lebih pantas. Paling penting bagi kami ialah keselamatan maklumat peribadi lebih terjamin kerana ia sukar dipintas berbanding sistem biometri yang lain.


Kesimpulan

Apakah pendapat anda tentang peranti Frankenstein yang telah dihasilkan dari komponen-komponen pelbagai peranti mercu sepanjang 2018? Adakah anda bersetuju dengan pilihan kami? Sekiranya tidak sila suarakan komponen pilihan anda yang boleh menggantikan pilihan kami di ruangan komen di bawah.


Komen ()