Mobvoi Memperlihatkan Dua Jam Tangan Pintar Mesra Renang – TicWatch E2 Dan TicWatch S2

Mobvoi Memperlihatkan Dua Jam Tangan Pintar Mesra Renang – TicWatch E2 Dan TicWatch S2

Diterbitkan pada Jan 9, 2019 oleh .

Pada bulan Ogos dua tahun lepas, Mobvoi telah melancarkan dua jam tangan pintar Wear OS dengan harga mampu milik – TicWatch E dan TicWatch S. Kedua-dua jam tangan pintar ini dijual dengan tanda harga kurang dari RM1000. Setahun kemudian, Mobvoi mengacah pengganti kepada TicWatch E iaitu TicWatch E2, tetapi ia tidak dijual dan digantikan dengan pelancaran TicWatch C2.

Hari ini di CES 2019, Mobvoi yang menyertai acara ini telah memperlihatkan bukan satu jam tangan pintar – tetapi dua pasang. Satu adalah TicWatch E2 dan satu lagi adalah TicWatch S2. Kedua-dua jam tangan pintar ini masih dijana dengan cip pemproses lama, Snapdragon 2100. Kemudian, kedua-dua skrin jam tangan pintar ini adalah 1.39-inci AMOLED dengan resolusi 400×400, bateri sebesar 30% iaitu 415mAh dan perlindungan kini dinaiktaraf dari IP67 kepada 5ATM.

Fokus Mobvoi pada TicWatch E2 dan TicWatch S2 adalah dua-dua jam tangan pintar ini mesra renang. Ia mempunyai mod berenang terbina pada sistem operasi, sensor pengimbas nadi, sensor luar badan latensi rendah dan GPS terbina secara terus di dalam. Versi sebelum ini, TicWatch S mempunyai GPS terbina pada tali jam – jadi dengan versi baru kedua-dua jam ini talinya mudah ditukar. Seperti versi sebelum ini, TicWatch E2 dan TicWatch S2 tidak mempunyai sokongan NFC.

TicWatch E2 dan TicWatch S2 hadir dengan warna hitam dan hitam/putih. Ia akan mula dijual selepas acara CES 2019 tamat. Harga pula masih belum diumumkan, tetapi harga rasmi Malaysia TicWatch E dan TicWatch S dijual pada harga RM699 dan RM899, jadi untuk model baru ini ia mungkin akan sedikit lebih mahal atau sama jika harga model lama diturunkan.


TIPS & ULASAN