Tema Gelap Chrome Pada Android Turut Akan Menggelapkan Laman Web

Tema Gelap Chrome Pada Android Turut Akan Menggelapkan Laman Web

Diterbitkan pada Feb 21, 2019 oleh .

Google sudah pun mengeluarkan kenyataan yang mana, mod tema gelap pada sesuatu peranti boleh menjimatkan bateri sehingga 60%. Lebih-lebih lagi, jika peranti tersebut menggunakan skrin OLED. Google telah pun menguji mod tema gelap ini untuk Chrome pada Android, cuma ia belum sedia untuk digunakan.

Kebiasaannya, tema gelap pada sesuatu aplikasi hanya berlaku pada bahagian antaramuka. Contoh adalah Chrome pada Windows yang diuji sebelum ini. Tetapi, bagaimana kandungan aplikasi tersebut? Chrome pada Android kelak, turut akan menggelapkan laman web yang dibuka dan tidak terhad kepada antaramuka sahaja. Kod yang mengaktifkan mod ini sudah pun digabungkan dan kelak akan hadir ke Chrome Canary.

Kami telah mencuba mod ini melalui Chrome versi Chromium. Chromium juga adalah pelayar web Chrome, cuma segala fungsi atau kod akan hadir pada versi ini sebelum boleh diuji pada Chrome Canary. Anggap sahaja, Chromium ini versi Alpha. Laman web yang kami buka, semuanya mempunyai tema gelap. Tetapi, tema gelap ini seperti warnanya diubah kepada mod kontras tinggi. Hanya kandungan berteks sahaja yang bagus. Kandungan laman web yang bergambar, gambarnya akan mempunyai kontras yang tinggi.

Ini masih ujian di peringkat awal. Akaun Google juga tidak boleh diselarikan. Jika versi ini sudah sedia, ia akan diuji sekali lagi melalui Chrome Canary, kemudian Chrome Dev dan barulah akan hadir melalui versi stabil.


TIPS & ULASAN