Bersama-sama pengenalan Nokia 1 Plus dan juga Nokia 9 PureView, pihak HMD Global turut memperkenalkan dua lagi telefon pintar berasaskan Android One yang hadir dengan spesifikasi pertengahan – iaitu Nokia 4.2 dan juga Nokia 3.2.
Kedua-duanya hadir dengan sebuah butang Google Assistant yang didedikasikan, membolehkan pengguna mengakses Google Assistant dengan menekannya sekali. Ia juga boleh digunakan untuk mengakses Google Visual Snapshot dengan menekan dua kali.
Selain daripada itu, kedua-dua telefon pintar ini juga menyertakan sokongan pencahayan notifikasi pada butang kuasa – sekaligus membolehkan pengguna mengetahui sekiranya terdapat notifikasi sama ada peranti diletakkan dengan skrin menghadap pengguna atau sebaliknya.
Nokia 4.2 hadir dengan skrin 5.71-inci, dijana cip Snapdragon 439, memori 2GB/3GB RAM dan storan 16GB/32GB. Ia turut menyertakan bateri berkapasiti 3000mAh. Untuk rakaman gambar, ia menggunakan dwi-kamera belakang gabungan 13MP + 2MP, selain kamera swafoto 8-megapixel. Peranti ini menggunakan pengecasan berasaskan mikro-USB.
Nokia 3.2 pula hadir dengan skrin 6.26-inci, dijana cip Snapdragon 439, memori 2GB/3GB RAM, storan 16GB/32GB, selain bateri berkapasiti 4000mAh. Telefon ini menggunakan kamera belakang 13-megapixel, kamera hadapan 5-megapixel, dan menggunakan pengecasan berasaskan mikro-USB.
Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah kedua-dua telefon pintar dengan rekaan bertakuk ini akan memasuki pasaran tempatan.