Pengeluar berlumba-lumba melancarkan peranti dengan peratusan saiz skrin yang lebih besar berbanding pesaing. Antara taktik yang digunakan ialah menggunakan takuk kecil, lubang kamera dan kamera yang melungsur. ZTE juga ingin menghasilkan peranti dengan peratusan saiz skrin tinggi dan telah memperlihatkan dua peranti konsep dengan rekaan yang unik.
ZTE Axon S ialah konsep dengan tiga kamera utama bahagian belakang dan dua pada bahagian hadapan hanya boleh digunakan dengan melungsurkan tubuh ke kanan. Seperti peranti mercu semasa, peranti ini juga akan dilengkapi bateri berkapasiti tinggi dan pengimbas cap jari dalam skrin. Dari segi spesifikasi kamera pula, tri-kamera menggabungkan sensor 48+19 Megapixel dan sebuah lagi dengan kemampuan zoom optikal sehingga 5X.
ZTE Axon V tidak mempunyai rekaan tubuh melungsur. Sebaliknya kedua-dua kamera hadapan terkeluar pada bahagian tubuh di sisi kanan. Ia dilengkapi sensor 3D yang membolehkan sistem imbasan wajah yang lebih tepat dilakukan. Skrin pada bahagian hadapan mempunyai nisbah 21:9 sama seperti yang ditemui pada Sony Xperia 1.
Kedua-duanya hanya sekadar konsep setakat ini dan ZTE masih belum mengesahkan sama ada ia akan dilancarkan tahun ini. Hanya awal tahun lalu ZTE hampir pupus selepas dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat tetapi kini kembali dengan dua rekaan peranti yang menarik.