Huawei P30 Pro dan P3o telah dilancarkan di Paris minggu lalu dan berdasarkan sambutan ke atas video pandang pertama yang telah kami terbitkan, ramai pengguna di Malaysia tidak sabar untuk memilikinya. Hari ini kedua-dua peranti mercu ini telah dilancarkan untuk pasaran tempatan secara rasmi.
Huawei P30 Pro hadir dengan skrin 6.47-inci OLED FHD+, dijana cip Kirin 980, memori 8GB RAM, dan storan sehingga 512GB. Ia menggunakan tri-kamera belakang 40MP + 20MP + 8MP serta menyertakan lensa TOF, selain kamera swafoto 32-megapixel. Melengkapkannya juga adalah bateri berkapasiti 4200mAh. Huawei P30 Pro hadir dengan sokongan kalis air IP68.
Menjadi fokus untuk Huawei P30 Pro juga adalah sokongan zum digital sehingga 50x yang ditawarkan olehnya menerusi sistem kamera periskop. Terdapat sistem pengecasan pantas berwayar 40W dan sokongan pengecasan nirwayar 15W. Seperti Mate 20 Pro, P30 Pro juga boleh mengecas peranti lain secara nirwayar.
Huawei P30 pula hadir dengan skrin 6.1-inci OLED FHD+, cip Kirin 980 2.6Ghz, memori 8GB RAM, dan storan 128GB. Ia hadir dengan tri-kamera gabungan 40MP + 16MP + 8MP, selain kamera swafoto 32-megapixel. Menjananya pula adalah bateri berkapasiti 3650mAh. Huawei P30 menyertakan sokongan kalis air IP53, membolehkan ia menyertakan sokongan bicu-audio 3.5mm.
Tidak seperti P3 Pro, ia tidak mempunyai sokongan pengecasan nirwayar tetapi Huawei menjual kerangka khas berasingan bagi membolehkan di dilakukan. Seperkara lagi P30 hanya menyokong zum digital sehingga 10X kerana tiada sistem kamera periskop.
Di Malaysia peranti boleh dibeli bermula 6 April ini dengan Huawei P30 Pro pada harga RM3799 untuk model 8/256GB, RM4399 untuk model 8/512GB manakala Huawei P30 pula dijual pada harga RM2699 untuk model 8/128 GB. Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah Aurora, Breathing Crystal dan Black.
Sebuah Huawei Backup bernilai RM599 akan diberikan kepada 6000 pembeli bertuah. Pembeli P30 Pro pula akan menerima kerangka snorkel bernilai RM428 dan pembeli P30 pula akan menerima kerangka Wireless Charging bernilai RM268 percuma dengan setiap pembelian.