Meitu Tidak Lagi Menjual Telefon Pintar, Kini Memfokuskan Pembangunan Teknologi Pengimejan

Meitu Tidak Lagi Menjual Telefon Pintar, Kini Memfokuskan Pembangunan Teknologi Pengimejan

Diterbitkan pada Apr 16, 2019 oleh .

Pada November tahun 2018, Xiaomi telah mengambil-alih perniagaan peranti Meitu dan Xiaomi akan bertanggungjawab terhadap rekaan, pemasaran dan penjualan peranti Meitu. Tetapi ini tidak menghalang Meitu untuk teruskan pengeluaran peranti, kerana Disember tahun lepas Meitu V7 dan Meitu V7 Tonino Lamborghini telah dilancarkan.

Nampaknya dua peranti Meitu V7 ini merupakan peranti terakhir keluaran Meitu sendiri, kerana mereka telah mengumumkan yang segala operasi berkait dengan telefon pintar kini dihentikan. Menurut mereka, untuk model-model Meitu yang sedia ada – Xiaomi akan uruskan dari segi pembangunan, jualan atau promosi. Akan tetapi, menurut Meitu menghentikan perniagaan ini bukan bermakna mereka akan gulun tikar – tetapi Meitu akan menaiktaraf strategi perniagaan mereka kepada sesuatu yang baru.

Meitu M8 SailorMoon

Seperti rancangan mereka tahun lepas, Xiaomi kini memegang lesen jenama Meitu dan berhak menghasilkan peranti Meitu di bawah jenama Xiaomi. Kemudian, Meitu pula akan memfokuskan kepada pembangunan teknologi pengimejan untuk kamera telefon pintar. Dengan sumber-sumber dari Xiaomi, teknologi kamera Meitu akan lebih berkembang kepada skala lebih besar dan berkuasa. Meitu turut bertegas yang perkhidmatan pelanggan model-model Meitu akan terus dijaga dan pengguna Meitu tidak akan dipinggirkan.

Bagi yang tidak tahu apa itu Meitu, ia adalah jenama telefon pintar di China yang terkenal dengan aplikasi kamera dengan mod kecantikan yang unik serta mempunyai identiti rekaan telefon pintar yang tersendiri.


TIPS & ULASAN