Carian
Lenovo Z6 Pro Mempunyai Empat-Kamera Utama Dengan Kemampuan 100MP
April 19, 2019 Fahim Zahar

Lenovo Z6 Pro adalah peranti mercu kedua Lenovo dengan janaan Snapdragon 855. Peranti ini telah diacah sejak acara MWC Barcelona 2019 lagi. Hari demi hari, Lenovo mengacah peranti ini – akhirnya sedikit butiran mengenai kameranya diketahui.

Lenovo Z6 Pro sudah pun disahkan bakal menyokong rakamanHyper Video‘ yang dikatakan berkait dengan 5G. Peranti ini juga dikatakan menyokong rakaman gambar makro 2.39mm, cuma tidak disahkan lagi jika ia adalah lensa atau sokongan dari segi perisian. Menariknya, Lenovo menggunakan sistem empat-kamera pada peranti ini – di mana lensa utama adalah sensor 48MP.

Kini, kamera Lenovo Z6 Pro telah disahkan turut akan menyokong rakaman 100MP. Adakah ini salah satu teknologi pixel binding? Dalam laman web Lenovo, sistem kamera peranti ini dikatakan menggunakan sensor dengan lapan-paksi OIS, rakaman malam yang hebat dan juga sokongan lensa ultra sudut lebar 125 darjah.

Melalui poster yang Lenovo terbitkan, peranti ini dilihat mempunyai skrin dengan bingkai nipis serta menggunakan rekaan takuk kecil. Peranti ini turut akan mempunyai pilihan RAM sehingga 12GB dan mungkin akan dijual di bawah nama Legion – iaitu produk Lenovo yang memfokuskan permainan. Lenovo Z6 Pro akan dilancarkan 26 April ini.

Komen