Minggu lepas, imej pengolokan OnePlus 7 dan OnePlus 7 Pro telah tertiris. OnePlus kali ini dikatakan akan hadir dengan tiga variasi iaitu, OnePlus 7, OnePlus 7 Pro dan juga OnePlus 7 5G. Melalui video acah rasmi, Pete Lau mengatakan yang OnePlus 7 akan memfokuskan kepada peranti yang pantas dan lancar.
Pantas dan lancar ini, mungkin bukan untuk sistem operasi – tetapi skrin. Ini kerana, khabar angin mengatakan OnePlus 7 Pro mungkin akan hadir dengan skrin QHD+ 90Hz. Terkini, spesifikasi kamera OnePlus 7 Pro pula telah tertiris. OnePlus 7 Pro dikatakan akan menggunakan sistem tri-kamera utama yang menggabungkan lensa utama 48MP + 8MP lensa telefoto dan 16MP lensa ultra-lebar.
Tidak dilupakan adalah sistem pengecasan pantas Warp Charge 30W yang pertama kali diperkenalkan pada OnePlus 6T McLaren Edition. Turut kedengaran adalah, peranti ini turut akan menyokong pembesar suara stereo. Cuma, jika bulan Mei atau Jun ini OnePlus telah hadir dengan tiga variasi OnePlus – bagaimana dengan siri T kelak?