Samsung dan Apple adalah dua syarikat yang mempunyai sejarah perbalahan di mahkamah sejak sedekad lalu. Namun begitu kerjasama masih dilakukan dengan Samsung menjadi pembekal utama pelbagai peranti keluaran Apple. Hari ini Samsung mula memberikan kemaskini perisian yang mengaktifkan sokongan AirPlay 2 serta kemampuan memuat turun aplikasi Apple TV.
Perisian diberikan untuk kesemua televisyen pintar tahun 2019 dan sesetengah model 2018. Ini adalah selari dengan pengumuman mereka untuk menyokong AirPlay 2 pada Januari lalu dan kemaskini iOS 12.3 yang mula diterima hari ini. Sokongan AirPlay 2 akan diterima oleh pengguna di 176 negara manakala aplikasi Apple TV pula disokong di 100 negara.
Menerusi aplikasi Apple TV, pengguna boleh mengakses ribuan kandungan video yang ditawarkan Apple terus dari televisyen pintar Samsung. Sokongan AirPlay 2 pula membolehkan lemparan kandungan dari pelbagai peranti Apple terus ke televisyen.