Beberapa jam yang lalu Google mengumumkan mereka tidak akan lagi memberikan lesen Android kepada Huawei. Ini serta merta merencatkan proses kemaskini perisian, tampalan sekuriti dan akses kepada GApps seperti Play Store. Kini pengeluar cip Qualcomm, Intel, Braodcom Inc dan Xilinx Inc turut mengesahkan mereka akan berhenti menjual perkakasan mereka kepada Huawei.
Dua tamparan hebat yang diterima oleh Huawei hari ini akan bukan sahaja menjejaskan perniagaan peranti pintar mereka yang menggunakan Android tetapi turut pada perniagaan komputer riba dan peralatan telekomunikasi yang menggunakan cip yang dikeluarkan empat syarikat ini.
Penghentian jualan perkakasan dan sokongan perisian hari ini hadir beberapa hari selepas Huawei dimasukkan ke dalam Entity List oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat kerana didakwa meningkatkan risiko terhadap keselamatan negara. Mereka tidak lagi boleh melakukan perdagangan dengan sebarang syarikat dari A.S tanpa kebenaran dari pihak kerajaan.