Cari @ Amanz

Huawei Kini Dihalang Dari Menggunakan Perkhidmatan Android Oleh Google

Link Copied!

Kesan halangan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat minggu lalu mula kelihatan. Hari ini Google menggantung akses serta sokongan Android kepada Huawei secara serta merta. Ini bermakna telefon pintar keluaran Huawei selepas ini tidak lagi akan menerima lesen menggunakan Android. Pada waktu yang sama tiada lagi sokongan kemas kini dan akses kepada kesemua perkhidmatan GApps seperti Play Store.

Huawei P30Huawei hanya boleh mengakses Android AOSP sahaja selepas ini seperti yang dilakukan beberapa pengeluar di China yang tidak menerima pentauliahan. Pihak Huawei masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan Google menghentikan hubungan perniagaan. Mereka hanya berkata akan menentang halangan yang dikenakan Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat minggu lalu.

Yang pasti ia akan mendatangkan kesan yang besar ke atas perniagaan peranti mudah alih Huawei yang bergantung sepenuhnya kepada sistem operasi Android. Pada suku pertama 2019, Huawei ialah pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia di belakang Samsung dan di hadapan Apple. Mereka sebelum ini mengumumkan komited akan memberikan kemas kini ke Android Q seawal yang mungkin. Ia juga menimbulkan tanda tanya sama ada pelancaran Honor 20 akan diteruskan esok.


Huawei telah mengeluarkan komen rasmi berkaitan perkara ini. Berikut merupakan komen rasmi Huawei berkaitan masalah ini:

Huawei telah membuat sumbangan yang banyak dalam pembangunan dan pertumbuhan Android diseluruh dunia. Sebagai salah satu rakan kerjasama utama Android, kami telah bekerjasama dengan platform sumber terbuka berkenaan untuk membangunkan ekosistem yang menguntungkan pengguna dan juga industri.

Huawei akan terus memberikan kemaskini sekuriti dan perkhidmatan selepas jualan untuk semua produk telefon pintar dan tablet Huawei serta HONOR, meliputi produk yang telah dijual dan juga produk dalam stok secara global.

Kami akan terus membangunkan ekosistem yang selamat dan berkesinambungan, dalam usaha memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna seluruh dunia.


Komen ()