Tidak banyak komputer riba di pasaran menggunakan skrin OLED walaupun ia kini menjadi kebiasaan pada telefon pintar. Ini adalah kerana panel OLED adalah jauh lebih mahal berbanding LCD yang digunakan sekarang. Terkini terdapat ura-ura Apple akan menggunakan panel OLED keluaran Samsung pada MacBook Pro 16″ dan iPad Pro baharu.
Ini adalah menurut laporan laman media Korea Selatan The Elec. Penggunaan panel ini pastinya memberikan paparan yang lebih terang dengan ketepatan warna yang lebih tinggi. Laporan ini walau bagaimanapun bercanggah dengan ramalan Ming Chi Kuo pada April lalu yang mengatakan teknologi Mikro LED akan digunakan.
Pada Januari lalu, Samsung telah memperlihatkan skrin OLED 15.6″ yang menyokong resolusi 4K. Bagi mereka yang mungkin tidak sabar menunggu, Lenovo dan Dell akan menghasilkan komputer riba dengan skrin OLED tetapi setahu kami ia masih belum dipasarkan di Malaysia.