Tesla mempopularkan penggunaan kereta elektrik sebelum mengembangkan penawaran kepada lori dan trak elektrik. Di kalangan peminat ramai yang inginkan peranti pintar berjenama Tesla dihasilkan. Setakat ini mereka hanya menghasilkan kerangka untuk iPhone menggunakan bahan kulit terpakai dari kerusi kenderaan.
Tetapi jika anda ingin melihat konsep telefon pintar Tesla, ia telah dihasilkan oleh Martin Hajek yang sebelum ini pernah menghasilkan konsep untuk iPhone Xc dan MacBook dengan skrin OLED. Peranti konsep ini diberikan nama Tesla Model P.
Model P mempunyai rekaan hampir semua skrin dengan sisi dibulatkan. Butang pada peranti mempunyai bentuk yang sama seperti pemegang pintu kereta keluaran Tesla. Pada waktu yang sama takuk untuk kamera adalah sama seperti bahagian hadapan kenderaan. Buat masa ini Model P hanyalah sebuah konsep kerana Elon Musk tidak pernah menyatakan hasrat untuk melancarkan telefon pintar keluaran sendiri.