Carian
Sir Jony Ive Meninggalkan Apple Bagi Membuka Firma Rekaan Sendiri
June 28, 2019 Effi Saharudin

Sir Jony Ive hari ini mengumumkan beliau akan meninggalkan Apple. Ive yang merupakan ketua pegawai rekaan Apple telah bertugas di syarikat ini sejak 1992 dan bertanggungjawab mereka banyak produk serta antaramuka ikonik seperti Mac, iPhone, iPad dan iPod. Beliau meninggalkan Apple untuk membuka firma rekaan kreatif beliau sendiri iaitu LoveFrom.

Firma ini dibuka bersama pereka industri Mark Newson yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan Apple Watch. Walaupun telah meninggalkan Apple, Ive masih akan mempunyai hubungan dengan syarikat tersebut kerana ia adalah pelanggan pertama LoveFrom. Menurut Ive, pada waktu ini beliau akan menumpukan perhatian kepada LoveFrom yang akan mereka peranti boleh-pakai serta produk berkaitan kesihatan.

Walaupun memulakan tugas sebagai pereka produk di Apple, Ive turut bertanggungjawab ke atas rekaan Apple Store dan juga ibu pejabat berbentuk UFO di Apple Park. Semasa di Apple beliau dilihat sebagai insan yang menjadikan visi Steve Jobs menjadi realiti.

Komen