8 Produk Bukan Apple Yang Direka Oleh Sir Jony Ive

8 Produk Bukan Apple Yang Direka Oleh Sir Jony Ive

Diterbitkan pada June 28, 2019 oleh .

Sir Jony Ive mengumumkan beliau meninggalkan Apple hari ini selepas berbakti sejak 1992. Di bawah beliau, pelbagai produk Apple di pasaran telah dihasilkan. Tidak melampau untuk mengatakan Ive ialah antara pereka industri yang paling berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia. Rekaan iPhone, iPod, iPad, Mac dan iMac yang menerima sentuhan beliau kemudiannya menjadi inspirasi kepada produk keluaran pengeluar lain.

Hari ini anda pasti dapat membaca puluhan artikel mengenai produk-produk yang direka oleh Ive. Di Amanz kami cuba untuk berfikir di luar kotak dan menulis tentang produk lain yang direka oleh Ive tetapi tidak diketahui oleh orang ramai termasuk peminat Apple sendiri.,

Kamera Leica M (RED)

Untuk mengumpul dana membanteras penyakit AIDS, batuk kering dan malaria, Sir Jony dan Marc Newson bekerjasama menghasilkan sebuah Leica M edisi terhad untuk (RED). Hanya satu sahaja kamera ini dihasilkan dengan rekaan yang dikemaskini berbanding Leica M edisi biasa. Tubuh dibulatkan dengan warna perak. Panel aluminium dengan 21,000 lubang digunakan pada tubuh menggantikan panel kulit pada model biasa. Proses menghasilkan panel ini sahaja mengambil masa 97 jam manakala keseluruhan kamera mengambil masa 250 hari.

Ive dan Newson menghasilkan 1000 prototaip dalam masa 85 hari sebelum menghasilkan Leica M ini. Kamera dilengkapi sensor 24-Megapixel dengan lensa APO-Summicron M 50mm f/2. Apabila dilelong pada acara (RED), kamera ini mencapai harga $1.8 juta (~RM 7.5) kepada pembeli yang masih lagi misteri. Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding anggaran asal sekitar $750,000.

Cincin Permata (RED)

Di bawah Ive, produk Apple dilihat sebagai barangan elektronik mewah. Ketika Apple Watch generasi pertama dilancarkan, versi Edition dijual pada harga mencecah RM80,000 di Malaysia kerana penggunaan kemasan emas 18 karat dan panel kaca nilam. Tetapi harga yang ditawarkan ini masih belum cukup mewah jika dibandingkan dengan sebentuk cincin permata yang direka oleh Ive dan Newson sekali lagi untuk (RED).

Cincin ini unik kerana diperbuat sepenuhnya dari sebutir permata buatan manusia. Tiada langsung bahagian logam dan ia mempunyai 3000 permukaan yang dicanai menggunakan pemotong laser. Ia telah dilelong pada harga $256,000 (~RM 1.02 juta) tahun lalu. Seperti Leica M di atas, pembeli cincin ini adalah rahsia.

The (RED) Desk

Ya sebuah lagi produk edisi terhad direka oleh Ive dan Newson untuk lelongan (RED) di dalam senarai ini. Kedua-dua pereka ternama ini gemar melakukan aktiviti lelongan untuk mengumpul dana bagi insan yang memerlukan bantuan. The (RED) Desk ialah sebuah meja yang dihasilkan dari 185 kepingan aluminium.

Apabila dilihat di atas, corak panel aluminium kelihatan seperti struktur sel. Ia adalah satu-satunya meja aluminium di dunia yang dihasilkan menggunakan teknik yang kompleks ini. Ia berjaya dilelong pada harga $1.685 juta (~RM 6.98 juta) pada tahun 2013. Sekali lagi pembeli meja ini dirahsiakan identitinya.

Telefon Orator

Ketika masih seorang pelajar di Newcastle Polytechnic, beliau menghasilkan konsep telefon Orator di atas. Telefon dengan rekaan futuristik di atas. Tiada maklumat tentang bagaimana Orator berfungsi. Yang kami tahu hanyalah ia memenangi anugerah rekaan Royal Society of Art Student Design Award. Orator juga adalah telefon pertama direka oleh Ive sebelum iPhone.

Hadiah yang dimenangi ialah wang tunai dan tiket lawatan ke Palo Alto, Amerika Syarikat untuk bertemu pereka-pereka industri terkemuka seperti Robert Brunner. Pertemuan awal di antara beliau dan Brunner ini akan membuahkan hasil buat Apple di masa hadapan.

Pena Zebra TX2

Enam minggu selepas pulang dari lawatan ke Palo Alto, beliau melakukan latihan industri di Roberts Weaver Group yang juga merupakan firma yang menaja pelajaran beliau di Newcastle. Di RWG beliau telah mereka pena TX2 untuk syarikat Zebra. TX2 unik kerana mempunyai bahagian pemegang getah yang besar pada bahagian hadapan dan bebola getah pada bahagian belakang.

Menurut Ive rekaan TX2 mementingkan keselesaan kepada pengguna ketika menulis. Bebola getah pada bahagian belakang pula direka bagi mereka yang ingin bermain dengan sesuatu ketika cuba mencari idea. Bolehlah dikatakan TX2 ialah antara pena terawal dengan mekanisme mengurangkan “kegelisahan” seperti fidget spinner yang popular dua tahun yang lalu. Pena ini dilaporkan popular apabila dipasarkan di Jepun.

The Flatliner – Sikat Dengan Timbang Air Terbina

Bagi kebanyakan pembaca, imej botak adalah amat sinonim dengan Ive. Tetapi ketika memulakan kerjaya sebagai pereka di firma Tangerine beliau masih mempunyai rambut yang agak lebat. Di Tangerine beliau terlibat dalam menghasilkan sikat The Flatliner untuk kedai gunting rambut Brian Drumm pada tahun 1990.

Sikat ini hadir dengan timbang air terbina pada bahagian tangkai bagi memudahkan proses menggunting rambut flattop yang popular pada waktu tersebut. Menerusi Flatliner kita boleh melihat pengaruh awal rekaan Bauhaus iaitu “bentuk harus mengikut fungsi” dan “sikit adalah lebih banyak” yang kemudiannya menjadi tiang seri produk Apple beliau.

Sinki Tandas Raphael Untuk Ideal Standard

Semasa di Tangerine beliau ditugaskan untuk menghasilkan rekaan sinki untuk Ideal Standard pada tahun 1990. Sinki rekaan beliau kelihatan moden dan minimalistik. Walaupun menghabiskan banyak masa untuk mereka sinki yang diberi nama Raphael, ianya ditolak oleh eksekutif Ideal Standard atas alasan ianya kelihatan terlalu moden, sukar dihasilkan dan mahal. Rekaan Ive dikatakan tidak berguna oleh eksekutif tersebut.

Pembentangan rekaan Raphael dilakukan pada hari Comic Relief dan eksekutif yang mengkritik Ive memakai hidung merah seorang badut. Pengalaman yang cukup menghinakan ini adalah sebab mengapa Ive berpindah ke Apple pada tahun 1992. Sebenarnya Ive sudah lama cuba dipancing oleh Robert Brunner yang pada waktu tersebut adalah ketua bahagian rekaan industri di Apple. Brunner kagum dengan konsep rekaan Apple Powerbook yang dihasilkan oleh Ive.

Walaupun Raphael adalah produk yang dianggap gagal, ia adalah penyebab mengapa Ive berpindah ke Apple dan mengubah rekaan pelbagai produk elektronik di pasaran beliau. Bakat beliau mungkin tidak dihargai dalam industri tandas, tetapi amat berguna dalam industri pengkomputeran.

Hiasan Krismas Hotel Claridge

Hotel Claridge ialah antara hotel yang paling berprestij di London. Ia menjadi hotel pilihan selebriti seperti Mariah Carey, Brad Pitt, Audrey Hepburn dan Alfred Hitchcock. Setiap tahun hotel ini akan mengambil pereka ternama untuk menghasilkan hiasan hari Krismas.

Pada tahun 2016 Ive dan Newson dipilih untuk menghias ruang lobi Hotel Claridge sempena Krismas. Bertepatan dengan rekaan produk beliau sebelum ini, pokok Krismas yang dihasilkan dibiarkan kosong. Tiada hiasan malaikat, gula-gula tongkat, bebola kaca atau bintang seperti pada pokok Krismas tradisional. Ive dan Newson membuktikan Hari Krismas juga boleh di-Bauhaus-kan jika anda berani mencubanya.


Sir Jony Ive mengukir nama di Apple tetapi jelas sekali kehebatan beliau tidak terhad kepada produk elektronik semata-mata. Malahan kami yakin ramai pembaca Amanz tidak menyangka beliau pernah mereka sinki, mangkuk tandas, meja dan pena. Pengajaran yang boleh kita lihat ialah perlu berani untuk keluar dari zon selesa untuk berjaya.


TIPS & ULASAN