Carian
HBO Max Diumumkan – Platform Penstriman Kandungan Dari WarnerMedia
July 10, 2019 Fahim Zahar

Sudah lama berita mengenai WarnerMedia akan melancarkan platform penstriman tersendiri tersebar di arena web. Namun tiada pihak yang dapat mengesahkannya, sehinggalah hari ini. WarnerMedia mengumumkan HBO Max, iaitu platform penstriman tersendiri mereka yang menyertakan pelbagai kandungan dari pelbagai perkhidmatan penstriman lain dan juga banyak penerbit lain.

Jika anda keliru kenapa ia menggunakan nama HBO Max, sedangkan HBO sudah pun ada perkhidmatan penstriman mereka tersendiri – ini kerana, nama HBO ini adalah legasi yang terkenal dengan pelbagai filem, siri TV dan kandungan lain. Jadi dengan menggunakan nama ‘Max‘, ia membawa maksud ‘Maximized‘ – iaitu lebih besar atau banyak dari sebelumnya.

https://youtu.be/LCS4CaZ9dwg

Sebelum ini turut kedengaran yang DC Universe bakal dihentikan perkhidmatannya – namun buat masa ini mungkin tidak. Kerana dalam HBO Max, kandungan-kandungan eksklusif DC Universe turut akan ditawarkan. Kemudian, siri-siri TV seperti Batwoman dan Katy Keene dari The CW turut akan disertakan dalam platform baharu ini. Kemudian, siri TV F.R.I.E.N.D.S yang akan ditamatkan di Netflix pada tahun 2020 akan diteruskan dalam HBO Max.

Lebih menarik, HBO Max turut akan mempunyai kandungan asli tersendiri dalam kategori Max Originals. Buat masa ini sudah terdapat 7 kandungan yang bercampur dari animasi, siri TV dan juga filem. Kemudian, kandungan-kandungan khas HBO yang dijadualkan untuk siaran tahun 2020 dan 2021 juga akan disertakan bersama.

Buat masa ini, WarnerMedia tidak memberikan sebarang tarikh pelancaran dan harga langganan. Disebabkan ia menawarkan pelbagai kandungan, ada kemungkinan besar – platform penstriman di bawah naungan WarnerMedia seperti VRV, DC Universe, Adult Swim, Crunchyroll dan banyak lagi mungkin akan diteruskan sebagai perkhidmatan penstriman individu dan mereka yang tidak berminat untuk melanggan semua HBO Max boleh melanggannya. Namun, untuk menjimat duit kami yakin HBO Max akan menawarkan harga langganan semua dalam satu.

Komen