Cari @ Amanz

Samsung menjadi pelopor skrin lengkung pada sisi menerusi Galaxy Edge empat tahun yang lalu. Menerusi skrin sisi ini pengguna boleh meletakkan pintasan pantas aplikasi yang kini menjadi sistem Edge Screen pada kesemua peranti mercu mereka. Tetapi evolusi seterusnya teknologi akan dipelopori pula oleh Vivo menerusi peranti NEX 2.

Imej pengolokan di atas telah dikongsi oleh IceUniverse sebentar tadi. Ia menunjukkan peranti dengan bukan sahaja dagu dan dahi yang amat nipis malahan skrin pada sisi peranti. Saiz skrin sisi ini adalah lebih besar berbanding yang digunakan pada peranti Samsung. Tiada langsung butang fizikal pada sisi peranti dapat dilihat pada imej pengolokan. Besar kemungkinan butang kawalan adalah sesentuh sepenuhnya.

Sebelum ini IceUniverse mendedahkan Samsung membangunkan teknologi yang serupa menggunakan nama Full Display 2.0. Tetapi pembangunannya untuk Galaxy Note 10 telah dihentikan atas beberapa sebab seperti kerisauan tentang ketahanan sekiranya peranti terjatuh.

Sejak dua tahun kebelakangan ini peranti dari pengeluar China mempelopori pelbagai teknologi baharu seperti kamera pop naik, tubuh pop naik, pengecasan adipantas, empat kamera, kamera bawah skrin dan pengimbas cap jari bawah skrin. Persoalannya adalah penggunaan skrin pada sisi peranti akan menjadi trend seterusnya selepas peranti dengan dagu dan dahi yang kecil?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd