Google turut mempunyai aplikasi podcast mereka yang tersendiri. Ia menawarkan antaramuka yang mesra pengguna dan mudah digunakan. Ia tidak terhad kepada peranti mudah alih sahaja, beberapa bulan lepas – Google Podcast turut boleh diakses melalui desktop. Selain itu, pada aplikasi juga Google turut menawarkan kemampuan memuat turun secara automatik.
Kini, untuk memudahkan lagi pengguna mendengar podcast kegemaran – ia boleh terus didengar melalui hasil carian Google di Search. Jadi jika anda mencari topik-topik kegemaran seperti memasak, topik berkaitan teknologi dan banyak lagi – anda boleh lihat di Google Search dan tekan untuk mendengar.
Akan datang Google turut akan membawakan fungsi lain Google Podcast melalui Google Assistant dan Google Podcast untuk web. Melalui Assistant, pengguna hanya perlu mengarah Google untuk mencari podcast yang dikehendaki dan topik yang berkaitan akan dicadangkan. Perkara yang sama turut akan dibawakan ke versi web. Paling menarik, ia akan segerak antara semua platform. Dengar sebentar di web dan jeda, pengguna boleh sambung pada peranti pintar pula.