Cari @ Amanz

Di dalam beberapa video promosi awal iPhone X dua tahun lalu, peranti dilihat dapat melakukan imbasan wajah Face ID walaupun ia diletakkan di atas permukaan rata. Pada peranti sebenar iPhone perlu dipegang menegak sebelum Face ID boleh berfungsi.  Seperkara lagi yang mengecewakan ialah, Face ID tidak boleh berfungsi jika peranti dipegang mendatar

Menurut laporan Bloomberg semalam, iPhone 11 akan hadir dengan beberapa pembaharuan yang menyelesaikan masalah ini. Kamera Face ID akan mempunyai kemampuan sudut yang lebih lebar bagi membolehkan ia mengimbas wajah walaupun diletakkan rata di atas meja. Selain itu panel belakang akan lebih tahan hentakan menggunakan teknologi kaca terbaru yang masih lagi belum dikenalpasti. Apple turut dipercayai akan menawarkan semula peranti dengan warna pusam.

Turut dilaporkan ialah tri-kamera utama pada iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max. Kamera ketiga hadir dengan lensa sudut ultralebar yang dipopularkan oleh Huawei. Tambahan lagi tiga gambar boleh diambil serentak oleh peranti dan dengan menggunakan perisian sebuah gambar komposit yang lebih baik dapat dihasilkan. iPhone 11 yang merupakan pengganti iPhone XR pula akan hanya dilengkapi dwi-kamera dengan lensa sekunder menyokong fungsi zum optikal.

Tiga model iPhone 11 dipercayai akan dilancarkan pada 10 September hadapan. Pada hari tersebut semua teka teki mengenai spesifikasi akan akhirnya terjawab

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd