Semalam, OnePlus 7T telah dilancarkan secara rasmi di India. Ia boleh dikatakan adalah satu gabungan dari OnePlus 7 dan OnePlus 7 Pro. Rekaan mirip dengan OnePlus 7, tetapi kamera dan skrin adalah dari OnePlus 7 Pro. Cip pemprosesan pula adalah yang paling pantas, iaitu Snapdragon 855+ dan menggunakan pengecasan pantas Warp Charge 30T yang lebih baik dari Warp Charge 30.
OnePlus 7T juga menggunakan skrin Fluid AMOLED 6.55-inci, iaitu skrin dengan kadar segar semula 90Hz. Secara tidak langsung pengalaman penggunaan adalah lebih lancar dan pantas. Fluid AMOLED pertama kalinya digunakan pada OnePlus 7 Pro dan ia mendapat perhatian orang ramai. Selepas mengumumkan skrin OnePlus 7T, Carl Pei memberitahu yang semua peranti OnePlus di masa akan datang akan menggunakan teknologi skrin Fluid AMOLED.
Ini bermakna, peranti OnePlus akan datang akan kekal pantas dan lancar – kerana skrin akan mempunyai kadar segar semula yang tinggi. Mungkin kita akan lihat skrin dengan kadar segar melebihi 120Hz, kerana Sharp Aquos Zero 2 menyokong sehingga 240Hz.