Carian
SpaceX Berkongsi Rekaan Prototaip Kapal Angkasa Starship Untuk Misi Ke Marikh
October 1, 2019 Effi Saharudin

Elon Musk mempunyai mimpi menjadi antara manusia terawal mendapat di permukaan Marikh. Sebagai planet yang paling hampir ke bumi, Marikh dilihat sebagai destinasi yang mungkin boleh menjadi penempatan manusia seterusnya. Pada hujung minggu lalu, SpaceX telah memperlihatkan prototaip kapal angkasa Starship yang akan digunakan untuk misi ke bulan, Marikh dan seterusnya.

Kapal angkasa prototaip ini diperbuat daripada besi tahan karat dengan perancangan melakukan pelancaran pertama dalam masa dua bulan. Ia kini hadir dengan dua sayap canard kecil pada bahagian hadapan berbeza dengan model pengolokan yang diperlihatkan Januari lalu.

Dalam ujian sulung, ia akan terbang ke ketinggian 20 kilometer sebelum pulang ke bumi. Ini ialah jarak yang jauh lebih tinggi berbanding platform ujian Starhopper yang berjaya dilakukan pada Julai lalu.

Kapal angkasa prototaip Starship MK1 ini akan dilengkapi tiga enjin baharu Raptor yang dibangunkan SpaceX. Kapal angkasa sebenar kelak akan dilengkapi enam Raptor. Dengan diameter 9 meter dan ketinggian 50 meter, ia mampu membawa kargo sehingga 100 ton atau 100 orang penumpang.

Untuk melepasi graviti bumi, Starhip akan dilonjak ke angkasa di atas roket Super Heavy yang dilengkapi 37 enjin Raptor. Seperti roket Falcon 9 sedia ada, Super Heavy akan kembali dan mendarat semula ke bumi secara automatik selepas menghantar Starship ke angkasa lepas.

Komen