Cari @ Amanz

Kemunculan AirPods tiga tahun yang lalu pada awalnya menjadi bahan jenaka kerana rekaannya yang agak aneh. Tetapi kini ia adalah fon telinga nirwayar dengan pegangan pasaran terbesar sehingga menjadi simbol status. Apple sekadar memberikan kemas kini pod pengecas yang menyokong pengecasan nirwayar pada Mac lalu. Kini kedengaran ura-ura versi terkini AirPods akan dilancarkan seawal hujung bulan ini.

AirPods Pro ialah nama yang bakal digunakan. Ia mempunyai kemampuan pembatalan hingar aktif dan kini menggunakan rekaan dalam-telinga berbanding versi terdahulu. Pada waktu yang sama tubuhnya bakal dibuat daripada bahan logam. Selain itu harga jualannya dijangka lebih mahal sekitar $260 (~RM1088) sepasang kerana sistem audio yang lebih canggih. AirPods dengan pod pengecas nirwayar pada waktu ini dijual pada harga RM879 sepasang.

Penganalisa Ming-Chi Kuo sebelum ini ada meramalkan pelancaran AirPods baharu pada suku keempat 2019 atau suku pertama 2020. Ikon untuk fon telinga baharu ini sudahpun tertiris. Bagi mereka yang inginkan pembatalan hingar aktif pada fon telinga, AirPods ialah aksesori yang anda nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd