Markah ujian dari DXOMark untuk Pixel 4 telah didedahkan pagi ini dan ia mencatatkan 112 markah. Ini meletakkannya di tangga ke lapan dengan kemampuan fotografi terbaik pada sebuah telefon pintar. Ia masih jauh di belakang Huawei Mate 30 Pro yang berada di persada carta dengan 121 markah sebelum ini.
DXOMark turut memberikan Pixel 4 92 markah dalam ujian swafoto. Ini alah setanding dengan markah yang dicatatkan oleh Pixel 3 tahun lalu tetapi di belakang Galaxy Note 10 5G yang mencatatkan 99 markah.
Pixel 4 diberikan pujian pada kemampuan mengambil gambar dengan warna yang hidup dan tepat, imej yang tajam, kemampuan fokus yang pantas dan rakaman video yang baik dalam pelbagai situasi. Kritikan yang diberikan pula ialah kesan bokeh yang kurang tepat, masalah hingar dalam pelbagai situasi dan video yang kurang stabil apabila diambil ketika berjalan.