Cari @ Amanz

Kekurangan paling ketara peranti Samsung sejak dua tahun kebelakangan ini ialah sistem zum yang tidak sebaik yang mampu dinikmati pada peranti Huawei. Peranti pesaing mereka boleh melakukan zum nirhilang sehingga 10X tanpa masalah berbanding hanya 5X pada peranti Samsung. Tetapi pada Galaxy S11 kelak ini mungkin akhirnya akan diatasi.

Samsung telah memfailkan tanda dagang untuk Space Zoom di EUIPO. Ini adalah petanda paling jelas sistem zum yang lebih berkuasa bakal diperkenalkan pada peranti mereka dalam masa terdekat. Secara tradisinya tanda dagang yang difailkan pada penghujung tahun akan digunakan pada peranti mercu awal 2020 dan kemungkinan besar Space Zoom adalah untuk S11.

Seperti kami laporkan sebelum ini, Samsung telahpun memperlihatkan modul kamera dengan mekanisme periskop. Jika mekanisme ini dipadankan pula dengan sensor 108 Megapixel Bright HMX mereka, kemampuan  melakukan zum ke angkasa adalah tidak mustahil. Dengan Huawei kini menerima sekatan dari A.S dan Apple pula masih belum bersedia menyertakan zum nirhilang, tahun 2020 ialah tahun yang terbaik untuk Samsung menunjukkan kemampuan kamera pada peranti mercu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd