Carian
Bill Gates Memberikan Sebab Mengapa Windows Mobile Kalah Kepada Android
November 9, 2019 Effi Saharudin

Menurut Bill Gates awal tahun ini, kegagalan sistem operasi mudah alih Windows adalah antara kekesalan terbesar dalam kerjaya beliau. Tanpa kegagalan ini, beliau percaya landskap peranti mudah alih sepatutnya dipenuhi peranti Windows dan bukannya Android seperti sekarang. Di dalam temuramah ketika acara New York Times DealBook, Gates memberikan sebab mengapa situasi ini berlaku.

Beliau berkata tumpuan beliau terganggu kerana Microsoft sedang berhadapan siasatan anti-persaingan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada masa itu. Akibatnya Microsoft gagal menyiapkan sistem operasi mudah alih untuk peranti yang ingin dikeluarkan oleh Motorola. Pembangunan lewat selama tiga bulan dan Motorola kemudian memilih Android.

Gates tidak mendedahkan nama peranti tersebut tetapi ia besar kemungkinan ialah Motorola DROID yang amat popular di Amerika Syarikat dan sekaligus menjadi batu loncatan Android untuk menjadi sistem operasi telefon pintar yang popular hari ini.

Dunia pastinya amat berbeza jika sistem operasi Windows memegang pasaran terbesar peranti mudah alih. Pada waktu ini Gates sendiri menggunakan peranti Android (dipercayai buatan Samsung) dan Panos Panay, ketua eksekutif produk Microsoft mengakui Android ialah sistem operasi mudah alih yang terbaik untuk peranti mudah alih. Surface Duo yang diumumkan Oktober lalu ialah “telefon pintar” pertama Microsoft dan akan dilancarkan tahun hadapan.

Komen